Kunci untuk mendirikan sebuah perkahwinan barakah adalah dengan ‘tidak mementingkan diri sendiri’. Jika kamu adalah insan yang mampu meletakkan keutamaan pasangan dahulu yakni melebihkan dirinya daripada diri sendiri, sudah tentu tiada masalah bagi kamu untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri yang terbaik.
Setiap lelaki mempunyai kemahuan yang berbeza daripada sang isteri namun menurut Willard F. Harley Jr, biarpun begitu lelaki memiliki keperluan asas yang sama daripada seorang wanita.
Cuba semak apakah diri kamu sudah dilengkapi dengan lima perkara ini…
#1 Merupakan Sahabat Rekreasi
Biarpun suami mempunyai minat yang berbeza daripada kamu, cuba amati minatnya bersama. Saling berkongsi minat/hobi adalah perkara paling manis boleh dilakukan sebagai suami isteri tahu? Oleh itu, jangan terlalu pentingkan diri, sama-sama cari masa untuk satu sama lain. Jika tak suka apa yang suami suka, tak apa… ambil masa untuk belajar dan menyukainya. Berkorbanlah sedikit, apa salahnya kan? Barulah rumah tangga itu ‘bernyawa’.
#2 Kepuasan Seksual
Mungkin topik ini agak memalukan untuk didengar tetapi ianya merangkumi komponen penting dalam rumah tangga. Jangan sesekali menganggap hubungan seksual adalah permainan dan jangan pula jadikan ia sebagai medium untuk ‘menghukum’ pasangan. Perbuatan yang berlandaskan ritma itu hanya akan memburukkan keadaan dan membawa aura negatif dalam kehidupan pasangan.
Intimasi daripada hubungan seksual mampu merapatkan suami isteri dan apa yang penting untuk suami adalah penting bagi kamu juga sebagai seorang wanita. Sikap dan usaha harus seimbang.
#3 Sifat Mengagumi
Sifat ini perlu ada dalam diri para isteri. Seorang suami sedang menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga, mencari nafkah, bekerja 8-10 jam sehari namun usahanya itu sering kali disalah erti.
Secara fizikal, anda sebagai isteri mungkin tidak perasan berapa banyak beban yang suami perlu tanggung demi membahagiakan keluarganya oleh itu, penting untuk isteri sentiasa menyuarakan kata-kata penghargaan pada suami dan tunjuk betapa anda menyanjungnya kerana telah melakukan yang terbaik untukmu dan anak-anak.
#4 Sokongan Domestik
Sokongan domestik adalah termasuk bagaimana isteri membantu suami dari segi pengurusan rumah tangga yakni sentiasa memastikan rumah bersih dan terurus dan dalam masa yang sama mampu menjaga keperluannya dengan baik di samping memantau anak-anak.
Dalam rumah tangga yang sihat, apabila suami sibuk menjalankan bahagian tugasannya, isteri pula harus memainkan peranannya sebagai pengurus rumah tangga. Namun begitu, suami yang baik tidak akan menyukarkan isterinya dan jika ada masa lapang, dia harus sama membantu.
Suatu waktu, Urwah bertanya kepada bibinya Aisyah,
“Wahai Ummul Mukminin, apakah yang dikerjakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam jika ia bersamamu (di rumahmu)?”
Aisyah berkata,
“Ia melakukan (seperti) apa yang dilakukan oleh salah seorang dari kalian jika sedang membantu istrinya, dia memperbaiki sendalnya, menjahit bajunya & mengangkat air di ember.” (HR. Ibnu Hibban).
#5 Rupa Paras Yang ‘Cantik’
Cantik di sini tak semestinya jelita tetapi sebagai seorang isteri, mulialah dia andai gemar berhias untuk suami. Dengan cara berhias inilah isteri bisa menyemarakkan perkahwinannya biarpun sudah dibina berpuluh tahun.
Jangan jadikan alasan tidak berduit atau terlalu sibuk sebagai alasan untuk kelihatan selekeh bila berdepan dengan suami. Mandi, bersolek, pakai wangian serta pakaian bersih dan cantik untuk menjamu mata suami. Barulah suami tertarik dan tidak cari lain. Ini tidak, bila hujung minggu, bangun tidur terus berkemas sudahnya tak mandi-mandi sampai ke senja.
Suami pula, sila beri duit poket (nafkah) pada isteri. Keperluannya adalah tanggungjawab kamu dan itulah sumpah setia kamu kepada dia, bapanya, kaum keluarga serta semua saksi yanng melihat saat kamu mengucap ijab dan qabul dahulu.