Emily Jean “Emma” Stone dilahirkan pada 6 November 1988, merupakan pelakon dan penyanyi Amerika Syarikat. Beliau membuat penampilan sulung menerusi filem Superbad, The Rocker dan The House of Bunny.
Namun namanya meningkat naik selepas membintangi filem Easy A, sehingga ke filem melodrama The Help dan dipilih memegang watak sebagai Gwen Stacy dalam filem blockbuster The Amazing Spider-Man dan awal tahun ini sahaja beliau dinamakan Pelakon Wanita Terbaik menerusi La La Land di Anugerah Akademi 2017.
Bukan sahaja cemerlang dalam bidang lakonan, Emma juga dilihat bijak berfesyen. Gayanya simple dan bersahaja membuatkan ramai menyukainya. Emma juga bijak menyuai padankan sesuatu fesyen dan suka bermain dengan warna menjadikan fesyennya di karpet merah antara yang dinanti-nanti.
Terkini, pelakon 28 tahun ini terpilih sebagai wajah baharu Louis Vuitton! Dilaporkan, Emma menandatangani kontrak dua tahun dengan rumah fesyen ikonik, dan dianggarkan bernilai di antara $6 dan $10 juta.
Bukan itu sahaja, syarikat milik LVMH ini telah mengejar Emma Stone selama hampir setahun. Kini beliau telah menandatangani kontrak, Emma bersedia untuk membintangi kempen TV dan cetak di seluruh dunia, serta memakai jenama itu di karpet merah.
Emma menyertai senarai pelakon kelas A yang lain seperti Michelle Williams, Sophie Turner dan Alicia Vikander.