Beberapa hari lalu, tersebar foto sebuah kedai dobi yang meletakkan papan kenyataan memberi amaran bahawa dobi layan diri berkenaan hanya menerima pelanggan beragama Islam sahaja.
Biarpun begitu, pelbagai reaksi negatif yang telah diterima sehingga mendapat perhatian Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.
Katanya, tindakan pengusaha sebuah kedai dobi di Muar, Johor, yang hanya menerima pelanggan beragama Islam sahaja adalah satu amalan agama yang sempit.
Beliau berkata, amalan itu bertentangan dengan Islam yang memudahkan penganutnya, pada masa sama tidak sesuai dalam masyarakat yang pelbagai agama dan budaya.
“Semua pandangan yang sempit seperti ini akan membawa negara kita ke arah ekstremisme dan hilang imbangan untuk hidup dalam masyarakat pelbagai agama dan budaya.
“Islam itu agama yang hidup dan beraksi dengan persekitaran secara seimbang. Fikah itu ke arah memudahkan bukan menyusahkan,” tambah Mohd Asri dipetik daripada Malaysia Kini.
Mohd Asri menasihatkan umat Islam agar memilih hukum fikah yang mudah dan praktikal, selain jangan membuat andaian berlebihan sehingga menyusahkan kehidupan mereka.
“Jika asal sesuatu bahan itu bersih, tidak zahir padanya najis sama ada dari segi warna, bau ataupun rasa, maka ia dikira bersih.
“Andaian yang berlebihan sehingga menyusahkan kehidupan bukan ajaran Nabi Muhammad yang mudah dan memudahkan kehidupan manusia,” tambahnya lagi.
Jika berterusan, katanya lagi, ia akan membawa kepada lebih banyak kepada hal pemisahan antara orang Islam dan bukan Islam yang tidak wajar.
“Saya bimbang nanti ada menggesa orang Islam tidak boleh guna duit yang telah digunakan orang bukan Islam. Ini kerana mereka mengandaikan mungkin ada najis semasa duit itu bertukar tangan.
“Kemudian nanti ada pula beranggapan perlu diasingkan bekas makanan yang digunakan orang bukan Islam di restoran. Takut nanti ada kesan khinzir di mulut mereka,” katanya lagi.