Baru semalam Selena dilihat ceria tatkala meraikan pelancaran koleksi kolaborasinya bersama COACH untuk CoachxSelenaGomez.
Namun lewat petang semalam, selebriti berwajah “baby face” yang merupakan teman wanita kepada penyanyi The Weeknd itu tampil berkongsi satu rahsia yang buatkan ramai terkejut terutamanya para peminat.
Selena sebelum ini yang pernah mendiamkan diri lantaran tekanan jiwa serta penyakit Lupus dialaminya, menerusi sebuah posting di akaun Instagram beliau menjelaskan bahawa dirinya telah menjalani satu pembedahan melibatkan pemindahan buah pinggang yang didermakan oleh sahabat baiknya, Francia Raisa.
Tidak memberitahu bila tarikh sebenar pembedahan tersebut, namun rata-rata netizen boleh mengandai bahawa pembedahan tersebut sudah berlangsung beberapa bulan lalu.
Dalam posting yang sama, Selena juga tidak ketinggalan memohon maaf andai ada peminat yang terasa hati dek kehilangan sementaranya dari dunia hiburan waktu itu dan tambahnya, “Ini adalah apa yang diperlukan demi kesejahteraan kesihatan saya sepenuhnya”.
Kini, beliau sudah berada dalam keadaan stabil dan masih dalam proses pemulihan.
“Saya ingin berterima kasih secara umum kepada kaum keluarga serta pasukan perubatan termasuk dokor yang banyak membantu saya baik sebelum dan selepas pembedahan.
https://www.instagram.com/p/BIKzXqjBLkX/
“Akhir sekali, tiada kata yang dapat digambarkan betapa saya berterima kasih kepada sahabat saya yang paling cantik dan baik hati, Francia Raisa. Dia telah menghadiahkan saya sebuah pemberian yang tidak ternilai malah sanggup berkorban dan mendermakan buah pinggangnya kepada saya, saya sangat bersyukur,” tambahnya.
https://www.instagram.com/p/BW4AnjbD5ak/
Lupus adalah penyakit radang kronik yang disebabkan dari tindak balas imunisasi tubuh. Hampir sama seperti kanser, ia merupakan pembunuh senyap dan bisa menjejaskan beberapa fungsi organ penting dalam badan.
Gejalanya dapat dilihat menerusi perubahan pada kulit di mana kulit akan menjadi kemerah-merahan, timbul ruam merah pada sekitar wajah turutama bahagian hidung dan pipi, rambut gugur, kesulitan bernafas (lelah) serta bengkak-bengkak di sekitar tubuh. Lebih menakutkan, punca penyakit Lupus ini adalah tidak diketahui.
Kata pakar, Lupus biasanya menyerang golongan wanita muda dan ternyata, pembedahan transplan atau pemindahan organ seperti yang dijalani Selena sedikit sebanyak memberi harapan kepada pesakit untuk pulih seperti normal.