Siap sedia berjimat-cermat dari hari ini jika anda menyimpan impian untuk memiliki model iPhone paling terkini inovasi Apple!
Semasa berlangsungnya sambutan ulang tahun Apple ke-10 semalam, Apple mendedahkan satu berita mengejutkan buat semua peminat perantinya dengan memperkenalkan tiga lagi model iPhone terbaharu termasuklah iPhone X, iPhone 8 dan iPhone 8 Plus. Bukan itu sahaja, Apple TV 4K dan Apple Watch 3 pun ada juga!
Tonton Video Penerangan Tentang Ciri-Ciri dan Reka Bentuk iPhone X
https://www.youtube.com/watch?v=K4wEI5zhHB0
Walau bagaimanapun, iPhone X adalah model telefon pintar paling mahal berbanding iPhone 8 dan 8 Plus kerana sistem dan reka bentuknya lebih maju setanding gaya hidup moden yang mencerminkan ketangkasan serta gaya versatile.
Khabarnya, harga iPhone X adalah sekitar $999 (RM4,204) dan $1149 (RM4,834). Antara keistimewaannya adalah memiliki paparan jenis Super Retina, sistem pengenalan wajah (FaceID) yang hanya akan berfungsi sebaik paparan hadapan dihalakan ke wajah sebagai sistem keselamatan terkini serta pengecasan tanpa wayar yang hanya memerlukan pengguna meletakkan telefon di atas pad khas untuk mengecas telefon berkenaan.
Dalam masa yang sama, Home Button berbentuk bulat ikonik yang sepatutnya ada pada iPhone juga telah dimansuhkan dan menggantikannya dengan bar digital pada bahagian bawah skrin telefon.
Sementara itu, iPhone 8 dan 8 Plus pula telah dinaik taraf secara langsung dari iPhone 7 terdahulu (2016) dan katanya jauh lebih murah iaitu hanya sekitar $699 (RM2,941) dan $799 (RM3,361) mengikut saiz ruang simpanan.
Tonton Montaj Pengenalan iPhone 8 dan iPhone 8 Plus
https://www.youtube.com/watch?v=k0DN-BZrM4o
Pembaharuan yang dapat dilihat pada iPhone 8 dan 8 Plus adalah merangkumi reka bentuk badan kaca yang hadir dalam rona perak, kelabu serta rona emas baharu. Rekaan gelas pada skrin paparannya adalah tahan lasak berbanding model-model Apple yang lain serta kalis air dan habuk.
“Pengumuman iPhone X ini menandakan kemajuan inovasi Apple yang pastinya memberi kesan kepada semua para peminatnya termasuklah skrin beresolusi tinggi, kamera berganda untuk galak kestabilan rakaman gambar dan video serta dilengkapi sistem Home Button yang baharu,” jelas Ernest Doku, pakar telefon pintar di uSwitch.com.
Biarpun Apple cuba menarik minat pengguna dengan sistem kamera depth-sensing yang boleh mengenal pasti wajah serta animasi emoji yang dipanggil Animoji khas untuk pengguna iPhone X, Apple bagaimanapun berdepan dengan pelbagai cabaran untuk meyakinkan para peminat fanatiknya bahawa gajet baharu itu mampu memberikan kepuasan setanding model-model perantinya yang sebelum ini.