Seperti yang kita semua tahu, Beyoncé adalah ikon seksi yang sering disamakan dengan lebah dek kerana potongan badan dan pinggulnya yang mengiurkan. Boleh dikatakan, serangga berjalur rona hitam dan kuning itu juga adalah serangga kegemaran Beyoncé kerana beliau sering sahaja menggayakan fesyen yang diinspirasi dari serangga pemakan madu itu.
Umumnya, 4 September (Isnin) lalu adalah ulang tahun kelahirannya yang ke-36 dan apalah erti parti ulang tahun jika tidak diserikan dengan kek.
Khabarnya, kek bertingkat yang dibikin khas bakeri popular iaitu Cake Life Bake Shop ini buat semua orang jadi tergamam kerana selain cantik ia juga benar-benar berjaya menonjolkan personaliti dan stail “Queen Bey” itu.
Lapor portal antarabangsa Philly Mag, pengusaha dan pemilik bersama bakeri itu, Lily Fisher menerangkan bahawa mereka ada menerima tempahan kek misteri yang memintanya untuk membuat satu kek bertingkat ala “geode”. Tidak lama selepas itu, barulah Lily sedar bahawa permintaan kek itu adalah dari pihak pengurusan Beyoncé.
Kata Lily, “Ia sangat mengujakan kerana semua orang tahu yang saya memang peminat fanatik Beyoncé”.
Kek tiga tingkat itu diliputi lapisan fondant hitam lalu dihiasi dengan perincian kristal gula rona putih dan kuning. Apa yang menarik, perisa kek itu sendiri adalah gabungan rasa lavender dan madu.
Rekaan kek ini sebenarnya disunting dari gaya elegan yang dibawakan Beyoncé ketika acara anugerah Grammy sekitar awal tahun baru-baru ini di mana, kek itu turut dihiasi tiara persis yang dipakai Beyoncé saat menyampaikan lagu “Love Drought” dan “Sandcastles”.
Tidak habis dengan itu, Lily dan temannya yang turut sama mengusahakan bakeri tersebut sempat membuat hidangan biskut yang berbentuk mahkota dan sarang lebah simbolik kepada diva ikonik itu.
Happy Belated Birthday Beyoncé!