Sekitar Februari lalu, Angelina Jolie ada mengemukakan kenyataan bahawa dia dalam masa terdekat akan kembali ke dunia lakonan setelah sekian lama berehat daripada karier seninya. Kali terakhir beliau berlakon adalah untuk filem By the Sea pada 2015 selain menjadi suara latar untuk watak Tigress dalam filem animasi Kung Fu Panda 3 tahun lepas.
Berkongsi keterujaan, beberapa hari sudah beliau akhirnya tampil mengesahkan khabar angin bahawa dirinya akan kembali menjadi watak utama untuk sekuel filem fantasi Disney iaitu Maleficient 2.
“Kami sudah pun berusaha keras menyiapkan skrip terbaik demi menjayakan sekuel kali ini,” kata Angelina.
Ditayang pada 2014, Maleficient adalah filem adaptasi dari dongeng Puteri Disney “Sleeping Beauty” berkisarkan tentang seorang Puteri yang telah disumpah oleh pari-pari (Maleficient) yang asalnya seorang pari-pari baik tetapi berubah menjadi jahat kerana dikhianati lelaki yang dicintainya.
Buat masa ini, maklumat lanjut berkenaan Maleficient 2 masih belum diperolehi namun antara pelakon yang akan turut membintangi sekuel Disney ini adalah Elle Fanning sebagai Aurora, Brenton Thwaites sebagai Prince Phillip dan Sharlto Copley sebagai King Stefan.