Selamat Hari Raya Aidiladha!
Sudah menjadi kelaziman bagi kita sebagai orang Melayu untuk menyediakan pelbagai juadah enak bagi persiapan menyambut tetamu ketika sambutan Hari Raya sebegini.
Selain Nasi Impit, Kuah Kacang, Ketupat, Rendang dan Lemang, anda mungkin boleh sediakan satu lagi hidangan pulut istimewa yang dipanggil KETUPAT PALAS!
Nak makan dengan rendang pun boleh, serunding pun boleh… ikutlah cita rasa masing-masing. Tapi penulis nak tekankan di sini, jika anda makan begitu sahaja pun dah cukup sedap tau!
Cuma guna enam bahan, pastinya hidangan Ketupat Palas ni lebih mudah disediakan dan rasanya juga enak. Lebih-lebih lagi buat individu yang gemarkan pulut.
Ayuh Wanista kongsikan resipi bersama dengan anda semua.
Bahan:-
- Daun Palas
- 1/2 kg Santan
- 1/2 kg Beras Pulut (guna pulut siam kalau hendak sedap)
- Kacang Mata Hitam (ikut suka hendak berapa banyak)
- Garam (secukup rasa)
- Gula (secukup rasa)
Cara Masak Pulut:-
1. Rendam beras pulut dan kacang mata hitam dalam bekas berasingan semalaman. Jangan lupa cuci dan bersihkan terlebih dahulu!
2. Didih santan yang telah siap dicampur garam dan gula secukup rasa di atas api perlahan. Sentiasa kacau untuk elak santan bertaik minyak.
3. Tapis beras pulut dan kacang, lalu campurkan kedua bahan tersebut bersama. Ratakan hingga serasi.
4. Setelah beberapa ketika, masukkan campuran beras pulut dan kacang tersebut ke dalam santan gaul mengikut arah lawan jam sehingga santan agak kering sedikit.
5. Diingatkan, pulut hendaklah dimasak secara separuh masak (half-cooked). Tak perlu masak sehingga sempurna kerana kemudian anda akan kukusnya pula.
6. Alihkan dari api, biarkan pulut separuh masak sejuk sebelum dibungkus guna daun palas.
Cara Ikat Ketupat Daun Palas:-
1. Disebabkan bentuk daun palas ini berlipat seperti ‘kipas tangan’. Anda hendaklah mengembangkan daunnya.
2. Bersihkan setiap helaian daun palas tersebut daripada kotoran dan habuk.
3. Mulakan ikatan dengan membuat bentuk segi tiga di hujung penjuru daun.
4. Selitkan pulut secara mampat dalam kelongsong segi tegi tersebut sambil jari memegang rapi daun supaya pulut dapat disisip kemas.
5. Pastikan anda nampak bentuk segi tiga terbalik, tarik daun yang ada disebelah kanan ke bahagian kiri…
6. Teruskan melipat daun mengelilingi segi tiga sehingga penghujung daun (batang daun) terlihat.
7. Selit batang ke dalam salah satu lipatan daun dan tarik ketat-ketat.
8. Simpulkan penghujung batang agar lipatan tidak tertanggal.
9. Kukus sehingga masak dan bolehlah anda nikmati bersama rendang atau sebarang cicahan pilihan!
Selamat mencuba! ❤️