Rakyat Johor memenuhi Dataran Bandaraya Johor Bahru di sini, malam tadi bagi menyaksikan Istiadat Persandingan Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan Dennis Muhammad Abdullah.
Persandingan itu yang berlangsung di Bilik Singgahsana, Istana Besar di sini dipancarkan secara langsung kepada orang ramai menerusi dua skrin digital gergasi.
Istiadat itu, yang bermula pada 8.35 malam, dilaksanakan penuh adat istiadat dan budaya Diiraja Johor dengan Tunku Tun Aminah mengenakan Baju Kurung Teluk Belanga manakala Dennis Muhammad mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga.
Istiadat persandingan itu diserikan dengan keberangkatan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah serta kerabat diraja.
Turut berangkat hadir ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri Che’ Puan Khaleeda Bustamam, Tunku Temenggong Tunku Idris, Tunku Panglima Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar. – Bernama
https://www.instagram.com/p/BXw3T7uhh0-/?hl=en&tagged=royalpressoffice
Foto-foto lain sekitar majlis persandingan Tunku Tun Aminah dan suami, Dennis Muhammad Abdullah