Dilaporkan, kemuncak fenomena pancuran meteor Perseid akan dapat dilihat di ruang angkasa negara pada sekitar 12.30 tengah malam Sabtu ini (12 Ogos).
Satu kenyataan Agensi Angkasa Negara (Angkasa), rakyat Malaysia dijangka dapat melihat secara purata sekitar 60 hingga 100 meteor sejam dan boleh mencecah sehingga 150 meteor sejam bagi kawasan yang bebas daripada pencemaran cahaya semasa kemuncak fenomena.
“Bagaimanapun, cabaran pada 2017 adalah cahaya bulan yang terang kerana berada pada fasa bulan menghampiri purnama ketika kemuncak kemunculan meteor.
Bulan dijangka terbit lebih awal pada 10.16 malam 11 Ogos. Keadaan ini mungkin menyebabkan kadar kenampakan menjadi kurang. Jumlah meteor yang dapat dilihat bergantung kepada keadaan tempat dan cuaca.
Pancuran meteor Perseid berlaku pada setiap tahun pada 17 Julai hingga 24 Ogos, apabila bumi melintasi laluan komet dan menyebabkan debu-debu komet terbakar ketika memasuki atmosfera bumi.
-Bernama