Isnin lalu, kita digemparkan dengan kehadiran dua aktor dan aktres hangat yang membintangi Baby Driver iaitu Ansel Elgort (Baby) dan Lily James (Deborah) ditemani Pengarah Edgar Wright bagi mempromosikan filem fenomena tersebut di Malaysia.
Semalam, penulis berpeluang menghabiskan masa selama hampir dua jam menonton filem yang menggabungkan elemen komedi dan aksi ini di MBO Cinemas The Starling anjuran majlis pra pelancaran M&M’s Screenbite Award 2017.
Apa yang penulis boleh canangkan tentang filem tersebut, penulis bukanlah jenis orang yang suka akan cerita-cerita aksi dan komedi kerana jiwa lebih dekat dengan filem berunsur realistik yang diselit jalan penceritaan lebih emosi seperti The Fault in Our Stars di mana, watak heronya juga dipegang hebat oleh Ansel sebagai Augustus. Tetapi Baby Driver ternyata dalam sekelip mata merubah persepsi penulis. Terus jatuh cinta!
Ceritanya tidak meleret panjang, permulaan cerita sahaja sudah cukup untuk membangkitkan perasaan teruja dengan melihat aksi spontan si Baby yang merupakan seorang lelaki kasual dalam likungan 20-an menyertai pasukan perompak sebagai seorang pemandu profesional bagi meloloskan kumpulan tersebut daripada ditangkap polis.
Tonton Klip Pembukaan Enam Minit Baby Driver Yang Janjikan Keterujaan
Lebih menarik, Baby yang tidak pernah lekang daripada kaca mata hitam dan iPod itu memanfaatkan muzik untuk menenangkan diri daripada penyakit pendengaran Tinnitus (gegaran gegendang) yang dihadapinya selepas terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kematian kedua orang tuanya sewaktu kecil. Kelebihan dengan mendengar muzik tersebut bisa membuatkan dirinya jadi tangkas sekaligus membolehkannya memandu seperti ‘pelesit’.
Momen paling romantik apabila Baby menemui cinta hatinya yang bekerja sebagai pelayan bar. Deborah juga punya minat mendalam terhadap muzik. Lucu namun gelagat dua orang ini boleh membuatkan anda tersenyum sendiri, ditambah pula sense of humor yang disumbangkan pelakon pembantu lain seperti Jamie Foxx (Bats), Kevin Spacey (Doc) dan Jon Hamm (Buddy).
Pengakhiran filem tidak seperti yang disangka malah ada sedikit kekurangan pada watak Deborah kerana pengenalan wanita misteri itu… kekal MISTERI hingga tayangan tamat! Dia seorang pelayan bar… Namanya Deborah… Suka muzik… Kadang-kala menghabiskan masa membasuh pakaian di kedai dobi…? Tu je??? Dari mana asal-usulnya, tiada siapa tahu dan tiba-tiba dia sanggup mengembara dan lari bersama Baby yang baru dikenalinya tidak sampai seminggu. What the fish? Agak tidak realistik di situ.
Apa-apa pun, cerita ini ‘ringan’, kelakar dan tidak membebankan fikiran. Santai habis! Cukup semua pakej dan penulis bagi lima bintang! Tequila! ⭐️⭐️⭐️⭐️⭐️
Tonton Trailer Baby Driver
Diingatkan, filem ini hanyalah untuk tontonan 18 tahun ke atas kerana terdapat beberapa kissing scene serta aksi ganas pembunuhan dan penggunaan senjata api ditonjolkan.
Selamat menonton Bananas!