Jika sebelum ini penyakit anjing gila atau rabies hanya terkena pada anjing, tapi kini ada ura-ura mengatakan gigitan dan cakaran dari kucing juga boleh membawa jangkitan yang sama.
Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak, Dr. Fuziah Muhayat, risiko jangkitan penyakit itu bukan hanya melibatkan anjing.
“Bukan hanya kalau digigit anjing, orang ramai juga harus segera ke pusat kesihatan terdekat untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika digigit atau dicakar kucing kerana berkemungkinan risiko jangkitan rabies berlaku,”
Dari laporan Bernama, seorang wanita digigit kucing peliharaannya di Kampung Menteri, Kuala Sepetang, namun pemeriksaan mendapati tiada tanda klinikal pada kucing tersebut dan tindakan kuarantin serta pemerhatian klinikal dilakukan ke atas haiwan itu sehingga tempoh 14 hari.
Pemilik kucing tersebut Norhayati Abdul Hamid, 41, tidak menyangka sama sekali haiwan peliharaannya itu akan menggigitnya kerana ini buat pertama kali ia bertindak sedemikian. Norhayati berkata kejadian berlaku kira-kira 11 pagi ketika dia sedang menyiang ikan belanak di rumahnya sebelum tiba-tiba kucing peliharaannya menggigit jari kanannya.