Sedih melihat kehidupan masyarakat masa kini yang sering terbelenggu dengan emosi yang tidak menentu, orang yang mempunyai masalah jiwa boleh sahaja dilabel sebagai pesakit mental.
Cepat marah, cepat melenting, cepat terasa, cepat menangis dan cepat menuduh secara melulu tanpa usul periksa? Anda mungkin salah seorang yang masih belum menemui maksud kehidupan sebenar yang ditemani kebahagiaan dan kegembiraan sejati.
Bagi sesetengah individu, harta dan cinta itu dianggap penyumbang kegembiraan utama namun sebenarnya… memiliki kehidupan yang bebas dari masalah dan penyakit jiwalah yang sebenarnya merupakan kegembiraan kekal abadi.
Penulis jelas, apa yang penulis bakal sebutkan ini adalah perkara biasa yang lazim anda dengar namun, berpandukan pada tips yang dikongsikan Wanista ini, lihat dan belajar macam mana untuk mendapat kegembiraan yang asli sepanjang hidup.
#1 Berhenti Bandingkan Diri Dengan Orang Lain
Bila tengok Instagram, anda mulalah mahu iri hati dengan orang lain. Lalu bertanyakan pada diri “Mengapa aku tak sekaya dia?”, “Mengapa aku tak secantik dia?”, “Mengapa pasangan aku tak seromantis pasangannya?”, “Mengapa hidup keluarga aku tak sesenang hidup keluarganya?”, “Mengapa aku tak sebijaknya?” dan lain-lain.
Sebaik anda bertanyakan soalan itu pada diri, berapa ramai yang sedar sebenarnya anda sedang membandingkan nasib diri dengan orang lain?
Dahulu, penulis juga selalu membandingkan diri dengan orang lain dan sampai satu masa penulis nekad tidak mahu lagi mempunyai akaun media sosial seperti Instagram demi mengajar diri untuk sentiasa bersyukur dengan ketentuan ilahi.
Ingat, tuhan mungkin tidak menyempurnakan hidup kita di dunia namun di akhirat kelak, kita mungkin akan mendapat ‘lebih’ daripada mereka yang telah sempurna hidupnya semasa di dunia.
#2 Sentiasa Bersyukur
Bila dah tahu mengawal diri untuk tidak lagi membandingkan diri dengan orang lain, secara automatiknya anda akan bersyukur dengan apa yang anda ada. Jangan dengki-mendengki, percayalah tuhan itu maha adil.
#3 Bersenam
Bersenam adalah aktiviti yang baik untuk fizikal dan mental secara keseluruhan. Dalam masa yang sama, ia juga akan menghasilkan satu hormon kimia yang dipanggil endorphin berfungsi membuatkan diri tenang dan gembira serta-merta sama seperti morphin.
#4 Cari Rakan Pembimbing
Sebab tu orang kata, kawan untuk berseronok tu ramai sekali tapi bila kita perlukan kawan sebagai tempat meluahkan masalah dan kesedihan?
Anda harus bertindak bijak dalam memilih kawan. Bukan minta anda menjadi racist atau terlalu cerewet. Anda memang perlu berbuat baik dengan semua orang namun, pilihlah seorang yang bisa mendengar ketika anda memerlukan tempat untuk mengadu dan carilah seorang yang bisa anda bergantung harap dalam memberi nasihat dan bukannya si batu api dan mengajar anda lakukan perkara buruk.
#5 Makan Secara Sihat
Sukar untuk bergembira jika tubuh sakit kan? Anda layak bergembira dan lepaskan segala tekanan yang terbuku. Cuba senaman regangan yang bisa membiasakan diri untuk relaks dan melatih minda untuk jadi tenang. Selain itu, jagalah pemakanan. Kalau stress, elak memakan snek yang tidak sihat okay?
#6 Luangkan Masa Lebih Bersama Keluarga & Tersayang
Tiada yang lebih indah daripada menghabiskan waktu kualiti bersama keluarga tersayang. Biarpun begitu, ramai indivdu masa kini lebih happy jika dapat melepak bersama teman dan kekasih atau lebih lebih selesa andainya menyendiri di rumah. Janganlah begitu. bangkit dan buka minda anda untuk berborak dan bergelak ketawa bersama keluarga hari ini sebelum semuanya terlambat. “Hidup terlalu pendek untuk berseorangan”.
#7 Jangan Kedekut, Mula Berkongsi
Dulu, penulis ada seorang kawan kelas yang kedekut ilmu. Ye lah, penulis bukanlah jenis bijak semasa zaman sekolah dahulu, jadi penulis minta dia untuk mengajar cara selesaikan satu soalan matematik. OMG! Dia siap kata, “Buatlah sendiri, jangan tiru aku” sambil tutup jawapan dalam bukunya. Waktu itu, baru penulis tahu kenapa dia tak punyai ramai kawan kerana dia seorang yang BERKIRA.
Kesimpulannya, janganlah jadi pesimistik jika tak mahu hidup melarat kesunyian dengan hanya mementingkan diri sendiri.
Malah tuhan berjanji, jika kita berkongsi, benda yang kita kongsikan itu tidak akan berkurang malah akan ditambah lagi untuk menguntungkan kita. Baru hati lapang tanpa ‘penyakit jiwa’.
#8 Maafkan & Lupakan
Mengurung kebencian dalam hati adalah kunci perosak diri. Hentilah berdendam dan berjalan terus ke hadapan tanpa menoleh kembali.
Jangan dikenang perkara lalu dan mulakan hubungan yang baharu bersama si lawan. Anda akan sedar, bahawa cara ini akan membuatkan jiwa lebih harmoni.
#9 Hapuskan Pemikiran Yang ‘Bertoksik’
Kita sedia tahu bahawa pemikiran negatif akan memusnahkan diri sendiri, oleh itu cuba cari cara bagaimana anda boleh mengawal pemikiran serta menggantikannya dengan fikiran yang positif.
#10 Jadi Diri Sendiri
Steve Jobs pernah berkata suatu ketika dahulu, “Waktu anda adalah terhad jadi, jangan bazirkannya untuk menjadi orang lain”.
Berhenti fikir tentang apa yang orang lain mahu sebaliknya cuba fikir apa yang anda mahu. Jadi diri sendiri mulai sekarang okay?