Sering menjadi perhatian buat mereka si pencinta alam, Omorose yang merupakan jenama kosmetik dari Malaysia berlandaskan ramuan vegan ini tampil menyinar di arena antarabangsa apabila menjadi perhatian di Festival Filem Cannes 2017 di Perancis baru-baru ini.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2014 oleh Pengasas Omorose Cosmetics, Terry Liau, beliau percaya bahawa semua wanita berhak untuk menjadi cantik dan kecantikan itu haruslah dinikmati bersama.
Untuk itu, Omorose komited untuk menawarkan seleksi kosmetik mera alam yang bebas daripada penggunaan bahan-bahan bersumberkan binatang, paraben serta phenoxyethanol malah kotak pembungkusannya juga mesra pengguna kerana mengandungi informasi yang boleh dibaca dan diakses oleh mereka yang kurang upaya dari segi penglihatan.
Dengan kerjasama bersama Dubois Pelin & Associates, Omorose teruja untuk berkongsi inovasinya bersama para selebriti yang terlibat dalam acara anugerah berprestij ini menerusi sebuah majlis penghargaan buat para pemenang anugerah di Cannes Film Festival 2017 dengan memberi set Lip Dressing Quintette iaitu himpunan pelembap bibir pelbagai perisa sebagai buah tangan.
Terdahulu, Omorose juga pernah muncul menjadi penaja cenderahati buat para selebriti di acara anugerah Golden Globe Awards 2015 dan 2016 dan pastinya peluang di Cannes Film Festival tidak akan dilepaskan begitu sahaja bagi melebarkan sayap untuk terus mengembangkan jenama kosmetik kebanggaan Malaysia ini di peringkat global.
Jelas Liau, beliau amat berpuas hati kerana bisa menjadi sebahagian orang penting untuk menjayakan Cannes Film Festival ke-70 sekaligus bersyukur kerana mampu mewakili Malaysia menyertai beberapa jenama antarabangsa yang lain.
Kosmetik Omorose boleh dibeli di beberapa gedung terpilih sekitar Lembah Klang termasuk TANGS Malaysia cawangan One Utama dan Empire Subang, Parkson cawangan Sunway Pyramid, Sunway Velocity Mall, Parkson Elite Pavilion serta MyTOWN Shopping Centre.
Untuk keterangan lanjut, sila layari [omorosecosmetics.com].