Ramadan & Aidilfitri, Resipi

Resepi Biskut Raya: Biskut Pastri Bersalut Gula (Palmiers Cookies)

Afiqah Syamin
/
Bukan hipster atau hijabista, cuma seorang gadis yang cintakan tradisi, bersifat feminin dan amat menghargai setiap bait lirik dalam lagu dan muzik ciptaan Coldplay. Fesyen? Sangat obses dengan karya rekaan Teuta Matoshi Duriqi, Oscar de la Renta dan Dolce & Gabbana ❤️
Resepi Biskut Raya: Biskut Pastri Bersalut Gula (Palmiers Cookies)

Hai semua! Macam mana persedian raya? Paling tidak, selain kemas rumah, jangan lupa pula untuk penuhkan balang kuih dan susun rapi semuanya supaya lepas balik raya nanti, tak perlulah anda kelam-kabut kan…

IKLAN

Lagi berapa hari je kita semua nak sambut raya, kat sini penulis ada satu lagi resepi biskut raya paling ringkas yang hanya menggunakan hanya dua bahan utama!

Buat sesiapa yang belum sempat nak buat kuih raya tu, mungkin boleh cuba resepi Palmiers Cookies atau Biskut Telinga Gajah ni!

Bahan:

  • Helaian Puff Pastri (tak kisah jenama apa sekalipun)
  • Gula Halus (secukup rasa)

Pada asalnya, puff pastri ini anda bisa uli dan buat sendiri di rumah namun melihatkan kekangan masa, beli sahajalah di kedai kerana ia lebih memudahkan.

Seperti penulis, gunakan puff pastri dari jenama Kawan ini atau apa sahaja jenis puff pastri yang anda temui di kedai atau pasaraya. Pastikan kelebaran helaian puff pastri itu juga besar.

Sumber: Jaya Grocer

Cara:

1. Pastikan mempunyai ruang yang besar untuk menghamparkan helaian puff pastri berkenaan. Bersihkan permukaan meja dan adalah lebih mudah jika anda lakukannya di atas permukaan yang licin agar pastri mudah digelek dan tidak melekat.

2. Taburkan gula sebagai pengganti tepung untuk mengelak pastri melekat pada permukaan meja.

IKLAN

3. Kemudian hamparkan helaian puff pastri di atas taburan gula tadi sebelum menaburkan lebihan gula di atas helaian puff pastri berkenaan pula.

4. Apabila kedua-dua belah bahagian helaian puff pastri telah disaluti gula, gelek permukaannya dengan kayu penggelek (roling pin) untuk memastikan gula tersemat rata secara menyeluruh pada pastri berkenaan.

5. Bersihkan lebihan gula dan siap sedia untuk memulakan teknik lipatan.

Teknik Lipatan

1. Ambil sisi sebelah kanan dan kiri helaian pastri yang siap disaluti gula dan tariknya ke bahagian tengah.

2. Kemudian, ulang teknik lipatan yang sama… menarik kedua-dua bahagian sisi helaian pastri ke bahagian tengah.

3. Untuk kali yang ketiga, ulang lagi teknik lipatan sehingga bentuknya dari penjuru kelihatan seperti bentuk hati.

4. Dengan menggunakan pisau tajam, potong gulungan puff pastri ini kepada beberapa bahagian. Pastikan tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis pula. (lebih kurang 1/2 inci setiap satu)

5. Tekan bahagian puff pastri yang telah siap dipotong menggunakan jari agar permukaannya lebih rata bagi menyerlahkan bentuk hatinya. 

6. Susun di atas dulang pembakar yang telah siap digris atau dialas dengan kertas minyak terlebih dahulu.

7. Bakar pada suhu 180 selama 20 hingga 30 minit sehingga garing keemasan.

8. Siap! Sejukan sebelum simpan dalam bekas kedap udara. Rasa manis gula dan kerangupan Palmiers Cookies atau Biskut Telinga Gajah ni pasti menambat hati semua!

Ha, ni lah biskut raya orang malas namanya… senang, cepat, lepas tu guna dua bahan je ❤️

Selamat Hari Raya dan jangan lupa cuba tau!