HTC, syarikat pengeluar telefon pintar terkemuka dari Taiwan baru-baru ini memperkenalkan sebuah lagi telefon pintar yang dilengkapi perincian serta teknologi moden U11. Apa yang menarik, inovasi terbaharu ini membolehkan pengguna berinteraksi secara ringkas dengan perisian serta fungsi telefon pintar tersebut menerusi tekanan pada bahagian sisi badan telefon yang ditemani teknologi Edge Sense.
Teknologi ini bertindak balas dengan sensitiviti sensor yang ditempatkan di kedua-dua belah bahagian bawah badan telefon membuatkan peranti tersebut sensitif pada setiap tekanan atau cengkaman yang dilakukan oleh jari terhadapnya. Dalam masa yang sama, ia boleh ditetapkan sebagai pautan ke beberapa aplikasi dalam telefon di samping membuatkan pengguna jadi lebih tangkas dan tak perlu lagi tercari-cari aplikasi yang mahu digunakan dalam keadaan segera.
Dengan reka bentuk mirip HTC U Ultra, U11 menggunakan material jenis gelas melitupi keseluruhan bahagian badan telefon agar kemasannya lebih bersinar dan kelihatan mewah. Paparan skrin 5.5 inci (2,560 x 1,440) dengan Quad HD yang diperkukuh dengan perlindungan dari skrin jenis Corning Gorilla Glass 5.
Hadir dengan kamera 12 megapiksel ditemani teknolgi UltraPixel 3 serta UltraSpeed Autofocus janaan HTC untuk kamera belakang manakala kamera depan pula adalah 16 megapiksel yang mampu merakam video dengan kejelasan HD 1080p.
Dikuasakan dengan bateri 3,000mAH, peranti ini juga dilaporkan boleh betahan selama satu hari suntuk biarpun hanya dicaj dalam masa 30 minit. HTC U11 ditawarkan pada harga RM3,099 termasuk GST dan boleh didapati dalam rona pilihan Amazing Silver, Sapphire blue dan Brilliantt Black.
Untuk keterangan lanjut, sila lawat laman Facebook HTC Malaysia di [www.facebook.com/HTCMalaysia]