Gula adalah sebahagian daripada manusia. Tanpa gula sudah tentu rasa sesuatu makanan itu akan jadi hambar semata, lebih-lebih lagi masakan orang Melayu yang memang kaya dengan pelbagai perasa dari masam hinggalah kepada masin dan manis.
Percaya atau tidak, seorang wanita dari Australia yanng senang disapa dengan nama Carolyn, mengaku yang dia telah meninggalkan gula serta segala sumber makanan bergula sejak 28 tahun lalu. Hasilnya, tubuhnya masih cantik seperti baru berusia 30an malah sihat tanpa sebarang penyakit kronik yang sering dialami individu seusianya biarpun sudah genap 70 tahun.
Jelasnya, dahulu dia memang seorang pengemar manisan. “Ramai kata bila umur sudah 50, susah untuk dapatkan kembali bentuk badan ideal namun hakikatnya, fakta itu salah.
“Masih ada ruang biarpun untuk mereka yang sudah mempunyai anak dan berada pada umur sekitar 40an untuk bekerja keras mendapatkan bentuk badan idaman,” tambahnya.
“Memang kadar metabolisma akan berkurang bila umur semakin tua tetapi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengawal serta membuat pilihan diet yang tepat agar ia mendatangkan hasil lumayan kelak,” katanya lagi.
Jelas Carolyn, pada mulanya memang agak sukar untuk dirinya mengelak daripada gula namun itu adalah kunci utama bagaimana dia mengecapi kesihatan serta bentuk badan menawan ketika ini. Dia akan pastikan dirinya mengambil sumber makanan protein setiap kali menjamu selera terutamanya ketika bersarapan. Sumber protein diyakini dapat bantu dirinya menghentikan keinginan terhadap gula.
Antara tips lain yang dikongsikan wanita cantik ini adalah untuk ambil masa bersenam 20 hingga 30 minit beberapa hari dalam seminggu, cuba tidur lapan jam sehari serta makan apa sahaja yang dikehendaki namun saiz hidangan haruslah sedikit bergantung pada rajah portion plate iaitu separuh pinggan harus diisi dengan sayur dan buah-buahan, suku pinggan dengan sumber protein atau daging manakala suku pinggan lagi dengan hidangan bijian penuh (karbohidrat bersih). Bagi lemak dan minyak pula, hanya sedikit sahaja yang diperlukan… lebih kurang satu sudu makan.