Letupan kuat kedengaran ketika penyanyi pop terkenal Amerika Syarikat, Ariana Grande, mengadakan konsert di Manchester Arena, sebentar tadi. Pihak polis turut mengesahkan berlaku beberapa kematian akibat insiden berkenaan.
Polis British mengesahkan sudah memberi maklum balas terhadap laporan itu dan mengarahkan orang ramai menjauhi kawasan berkenaan. Britain diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk kali kedua kemungkinan berlaku serangan militan.
Rakaman video dari seorang pengunjung yang dimuat naik menerusi Twitter menunjukkan penonton konsert menjerit dan lari bertempiaran.
https://twitter.com/hannawwh/status/866775833553379328
Terkini, sekurang-kurangnya 19 orang dilaporkan maut dan 50 lagi cedera di lokasi dan polis menyiasat insiden itu sebagai serangan pengganas.
Menurut laporan dari BBC yang memetik seorang saksi memberitahu, kira-kira 20 hingga 30 penonton dilaporkan terbaring di lokasi konsert yang dilaporkan mengorbankan beberapa mangsa selepas berlakunya letupan bom.
Penyanyi, Ariana Grande dilaporkan selamat. Bagaimanapun, bilangan sebenar mangsa yang maut dan cedera belum disahkan oleh pihak polis.