Telur ayam adalah pembekal tenaga optimum jika diambil pada waktu pagi sebagai sarapan. Selain mengenyangkan, kandungan vitamin dan mineral yang terkandung dalam telur baik untuk kesihatan tubuh bahkan rasanya juga boleh dipelbagaikan dengan tambahan perisa seperti lada hitam, hirisan bawang, daun herba beraroma mahupun kepingan daging bakon yang digoreng rangup.
Namun, orang kita hanya sering memasak telur sebagai hidangan telur hancur, telur separuh masak serta telur mata yang diapit dengan roti sebagai pilihan sajian mudah sedia.
Bagi membangkitkan kelainan agar lebih berselera untuk menikmati telur sebagai menu utama harian, apa kata anda cuba resepi “Egg On Cloud” ini!
Sudahlah mudah disediakan, rasanya juga berbeza sedikit berbanding tekstur telur biasa.
RESEPI CLOUD EGG
Bahan:-
- Telur Ayam
- Keju Parmesan (parut)
- Garam
- Lada Hitam
- Bijan (hiasan)
- Daun Bawang (hiris)
Cara:-
1. Pecahkan telur satu persatu. ***Kiraan telur adalah mengikut ‘berapa orang makan’.
2. Asingkan kuning telur daripada putih telur (boleh guna cara sedutan botol kosong agar mudah asingkan kuning telur).
3. Masukan parutan keju parmesan, garam serta lada hitam sesedap rasa ke dalam putih telur.
4. Pukul menggunakan pemutar elektrik hingga putih telur ringan seperti tekstur meringue.
5. Alaskan dulang pembakar dengan kertas pembakar atau sembur ia dengan baking spray terlebih dahulu untuk mengelak telur melekat pada logam dulang dan sukar dialihkan kemudian.
Tonton Tutorial Penyediaan Cloud Egg
6. Ceduk putih telur menggunakan senduk lalu letak ia setempat di atas dulang. Dengan sudu, lengkungkan bahagian tengah putih telur untuk letak kuningnya nanti.
7. Bakar selama 5 hingga 8 minit pada suhu 230ºC sehingga putihnya menjadi garing sikit.
8. Keluarkan putih telur yang meyerupai awan dari oven dan letakkan kuning telur di bahagian lengkungan tengahnya.
9. Masukkan kembali dulang ke dalam ketuhar selama beberapa minit lagi hingga kuning telurnya masak.
10. Siap! Nikmatinya dengan taburan hirisan daun bawang dan bijan sebagai sarapan enak lagi berkhasiat!
Selamat mencuba!