“Menjelang pilihan raya, ramai ‘nujum-nujum pak belalang’ akan muncul,” kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau menafikan khabar angin bahawa nilai ringgit akan jatuh teruk menjelang September ini yang dalam masa sama akan mempengaruhi keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia.
Menurutnya, ia hanya khabar angin dan tidak ada sesiapa yang mampu untuk buat ramalan secara tepat.
“Rekod pertumbuhan untuk suku tahun, maknanya dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun ini, menunjukkan prestasi yang terbaik, kita tak jangkakan perdagangan akan bertambah 20 peratus, tapi kita yakin untuk mencapai lima peratus itu tak ada masalah,” jelasnya.
Tambahnya, apa yang pasti ekonomi dunia bertambah baik berbanding tahun lalu, begitu juga dengan perdagangan negara bagi tiga bulan pertama tahun ini (Januari, Februari dan Mac) berkembang kira- kira 23 peratus memecahkan rekod sejak 2010.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, sebagai individu yang dipertanggungjawabkan terhadap kegiatan perdagangan dan pelaburan negara, beliau tidak nampak sebarang perubahan dalam dua aspek ekonomi berkenaan.
“Bagaimanapun dari aspek perdagangan, ia meningkat begitu ketara dan keyakinan terhadap pelaburan di Malaysia masih lagi kukuh,” katanya.
Berhenti sebar khabar angin yang belum nyata kerana itu akan memburukan keadaan dan menjadikan ramai orang panik dan salah faham.