Dari artikel European Cream Beri Kualiti Dan Tekstur Krim Paling Terbaik Untuk Semua Pengguna telah menerangkan tentang penggunaan krim yang sememangnya menjadi bahan asas dalam menyediakan juadah dalam masakan barat. Krim yang asli dan terbaik ialah produk krim yang mengandungi sekurang-kurangnya 30% lemak.
CNIEL (Centre National Interprofessional de l’Economie Laitiere) organisasi yang mempromosikan produk tenusu memperkenalkan kempen “La Creme de la Creme” (Cream of Europe) telah bekerjasama dengan guru kulinari Jean Michel Fraisse dari Hospitality & Tourism Consulting di Asia dalam menyediakan 3 resepi pencuci mulut ringkas gabungan krim dengan sajian tempatan.
Ikuti resepi Puding Mangga Sago Panda, Mousse Laici dan Rasberi dan Aiskrim Coklat bersama Sos Karamel Pisang.
Puding Mangga Sago Pandan (10 puding, 50ml)
Bahan-bahan:
a) 180ml UHT krim putar
b) 180ml puri mangga
c) 90g sago yang dimasak dalam air panda
d) 50g gula
e) 4g agar-agar
f) air Gula Melaka yang siap dimasak
Cara-cara:
a) Kisar daun pandan didalam air untuk menghasilkan air berwarna hijau. Tapiskan. Kemudian, masak sago menggunakan air pandan tadi.
b) Campurkan kesemua bahan (kecuali Gula Melaka). Masak dan kacau adunan dengan api perlahan (jangan sampai mendidih).
c) Biarkan sejuk seketika. Isikan adunan tadi kedalam acuan puding/bekas sajian. Sejukkan didalam peti ais. Sajikan dengan Gula Melaka.
Mousse Laici dan Rasberi (8 hidangan, 200ml)
Bahan-bahan untuk dacquoise biscuit:
a) 3 putih telur
b) 30g gula kastor
c) 70g tepung kacang almond
d) 35g tepung serbaguna
e) 70g gula aising
f) secubit garam
Cara-cara menyediakan dacquoise biscuit:
Panaskan ketuhar pada 240 darjah celcius. Putarkan putih telur, masukkan gula sedikit demi sedikit sehingga kembang. Kemudian adunkan bahan tersebut diatas kertas pembakaran dalam bentuk meringue dan bakar selama lima minit.
Bahan-bahan untuk mousse laici:
a) 300g puri laici
b) 70g gula
c) 6g serbuk gelatin, rendam dalam 30g air sejuk
d) 400g krim UHT, pukul sehingga kembang
Bahan-bahan untuk sos rasberi:
a) 250g puri rasberi
b) 4g serbuk gelatin, rendam dalam 20g air
c) 100g air
d) 20g gula kastor
Cara-cara menyediakan mousse laici/rasberi:
a) Didihkan puri laici/puri rasberi dan gula. Sejukkan dan campurkan dalam gelatin (puri laici dan rasberi). Sejukkan dan satukan dalam krim putar (puri laici sahaja).
Cara penyediaan sajian:
a) Dengan menggunakan piping bag, jadikan lapisan demi lapisan mousse laici dan rasberi. Kemudian tambahkan dacquoise biscuit sebagai memberi tekstur.
Aiskrim Coklat bersama Sos Karamel Pisang (8 hidangan)
Bahan-bahan untuk aiskrim coklat:
a) 125g susu
b) 3 telur kuning
c) 100g gula
d) 75g coklat yang telah dicairkan
e) 250g krim putar (sejuk)
Cara-cara menyediakan aiskrim coklat:
a) Didihkan susu. Pukul gula dan telur kuning sehingga kembang. Masukkan susu panas tadi kedalam adunan gula dan telur. Masak dan api perlahan menggunakan senduk kayu. Setelah masak, campurkan adunan kedalam coklat cair dan kacau sehingga sempurna. Sejukkan.
Bahan-bahan untuk sos karamel pisang:
a) 100g gula
b) 50g pisang dilenyek/puri
c) 25ml krim UHT (suam)
Cara-cara menyediakan sos karamel pisang:
a) Masak gula didalam periuk panas sehingga gula menjadi pekat dan berwarna coklat perang. Alihkan dari dapur, tambah puri pisang. Gaulkan sehingga sebati.
Selamat mencuba!