Sesekali dalam diri ini cemburu melihat mahkota wanita yang lain lebat dan beralun dengan cantik. Malah ada sesetengah dari mereka yang berambut lebat acap kali bertukar fesyen rambut. Lain pula dengan anda yang berambut nipis, pasti ada sahaja pantang larang jika ingin mengayakan stail rambut baru. Anda jarang berambut panjang kerana risau dengan faktor keguguran rambut begitu juga ingin mewarna atau memakai aksesori rambut. Rungsi apabila rambut sudahlah nipis sekarang banyak gugur pula, takut lompong botak nanti!
Gusar dengan penampilan anda dengan rambut nipis? Wanista berikan kunci penjagaan yang paling sesuai dan mudah diikuti. Sedia!
#1 Pilih Yang Hijau
Rambut yang sihat dan kuat bermula dari dalam, tambah diet harian dengan sayur-sayuran hijau! Makanan yang tinggi zat besi seperti kangkung, sayur sawi, kekacang dan tofu elemen yang menghasilkan pertumbuhan rambut yang sihat. Elakkan pengambilan kafein, alkohol dan rokok serta kurangkan pengambilan makanan yang diproses. Minum air putih secukupnya dimana ia membantu menguatkan rambut dari hujung akar.
#2 Pastikan Rambut Sentiasa Bersih
Rambut yang berminyak antara punca rambut kelihatan nipis, jadi anda harus bijak dalam memilih syampu dan perapi rambut. Namun pastikan jenis rambut anda dahulu samaada jenis berminyak atau kering. Jika berminyak, anda harus cuci rambut dengan syampu pada setiap hari dan rambut kering pula elakkan syampu rambut terlalu kerap. Anda juga boleh gunakan syampu kering (dry syampoo) ia juga mampu menyerap minyak dan kotoran pada rambut sambil menambah volume pada rambut.
#3 Cara Betul Guna Perapi Rambut
Jangan sapukan perapi pada seluruh rambut dan kulit kepala. Bagi yang rambut nipis cukup untuk anda gunakan syampu perapi pada tengah hingga hujung rambut.
#4 Elakkan Dari Haba Panas
Teknik meluruskan dan mengeringkan rambut seperti rebonding/blow dry menggunakan haba panas yang boleh merosakkan rambut sekaligus menyebabkan rambut gugur dan menipis. Cara terbaik untuk mengurangkan haba panas, biarkan dahulu rambut sedikit kering secara semulajadi supaya anda tidak terus menggunakan haba tinggi untuk mengeringkan rambut.
#5 Potong Yang Tak Perlu
Biasakan diri ke salun terdekat untuk mendapatkan khidmat memotong bahagian hujung rambut setiap enam hingga lapan minggu. Ia cara terbaik untuk memastikan rambut kelihatan sihat dan lebat. Stail rambut lurus dan tanpa layer lagi menampakkan rambut anda nipis, pastikan anda memotong dengan dua gaya layer supaya ia menambah volume pada rambut. Panjang rambut paling sesuai untuk si rambut nipis ialah sederhana panjang (mid-length).