Info Menarik

Denda Tidak Ganti Puasa: Panduan Cara & Siapa Yang Perlu Langsaikan Fidyah

Afiqah Syamin
/
Bukan hipster atau hijabista, cuma seorang gadis yang cintakan tradisi, bersifat feminin dan amat menghargai setiap bait lirik dalam lagu dan muzik ciptaan Coldplay. Fesyen? Sangat obses dengan karya rekaan Teuta Matoshi Duriqi, Oscar de la Renta dan Dolce & Gabbana ❤️
Denda Tidak Ganti Puasa: Panduan Cara & Siapa Yang Perlu Langsaikan Fidyah

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin(QS. Al Baqarah: 184).

IKLAN

Tak sangkanya kita bakal bertemu Ramadhan kembali tahun ini.

Sekarang bulan rejab, seterusnya Sya’ban dan kemudian Ramadhan… sudahkah anda yang di luar tu menganti puasa yang tertinggal saat datangnya hari-hari uzur pada tahun sudah?

Bagaimana pula jika ada diantara kita yang masih tertinggal ‘baki’ dalam menggantikan puasa setahun dan dua tahun sudah? Jawapannya adalah, seseorang itu harus melunaskan hutang menerusi bayaran fidyah iaitu sejenis bayaran zakat yang diberi dalam bentuk beras atau wang mengikut harga beras semasa.

Untuk menghilangkan kemusykilan kalian, Wanista tampilkan penjelasan yang dikongsi MAIS.

FIDYAH

Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan.

HUKUM FIDYAH

Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

IKLAN

PROSEDUR PEMBAYARAN FIDYAH

Perkiraan dan bayaran fidyah boleh dibuat di Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri.

Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin.

SEBAB DIKENAKAN FIDYAH

#1 Uzur menunaikan puasa wajib: Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.

#2 Perempuan Hamil: Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

#3 Ibu yang menyusukan Anak: Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.

#4 Orang yang telah meninggal dunia: Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

#5 Melambatkan Ganti Puasa (Qada’): Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

TAKSIRAN FIDYAH

(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = FIDYAH

KADAR BAYARAN FIDYAH

Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).

Dalam bentuk nilaian, berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 1435H, secupak beras bersamaan dengan 567.5 gram dinilai dengan kadar RM1.80.

Contoh:

Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah:

RM1.80 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM16.20

*Jumlah hari puasa yang wajib di qada tetap 3 hari sahaja. Hanya bayaran fidyah sahaja digandakan.

*** Kiraan fidyah di Selangor adalah tidak berganda walaupun melangkau tahun.

Sementara ada masa lagi ni, jangan lupa ganti puasa jika tak mahu membayar fidyah!

Untuk keterangan lanjut, sila klik [www.zakatselangor.com.my/kalkulator-zakat]

Selamat beramal!