Pasangan selebriti, Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani dilaporkan selamat menimang kelahiran cahaya mata kedua mereka di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur, pagi semalam.
Berita gembira itu dikongsikan oleh Yusry menerusi laman Instagramnya menyatakan rasa syukurnya dengan kapsyen “Alhamdulillah. Lisa dah selamat melahirkan baby boy pagi tadi. Syukur Alhamdulillah,”
Yusry bagaimanapun masih belum berkongsi nama anaknya kepada peminat mereka.
Rata-rata peminat turut berkongsi rasa gembira dengan mengucapkan tahniah kepada pasangan terbabit.
Lisa Surihani melahirkan bayi lelakinya itu di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur pada jam 7.10 pagi dan berada dalam keadaan sihat.
Sementara itu di ruangan komen, selain memberi ucapan kepada Lisa dan Yusry mereka turut mengucapkan tahniah kepada Yahaira kerana telah menjadi kakak.
Yusry dan Lisa mendirikan rumahtangga pada 23 Februari 2012 dan dikurniakan anak pertama, Yahaira Leanne.