Hubungan seks ialah hubungan kelamin diantara pasangan suami isteri untuk mengungkap cinta dari kata-kata. Ramai yang menganggap hubungan seks lazimnya dilakukan secara spontan dan tanpa dirancang. Namun, hasil Tinjau Selidik Tabiat Seks Global Pfizer rupanya kaum lelaki merancang lebih awal untuk melakukan hubungan seks dan lebih mengejutkan ialah mereka merancang berjam-jam lebih awal.
Prof Dato Dr Zulkifli Md. Zainuddin, Pakar Runding Urologi berkata, “Hasil tinjau selidik ini menunjukkan bahawa kumpulan lelaki yang disoal selidik ini tidak semestinya mahu mengadakan hubungan seks secara spontan, tetapi mereka suka merancang hubungan di kamar asmara dan mengetahui lebih awal apa yang dikehendaki. Malah, tidak menghairankan bahawa 83% daripada pengguna ubat disfungsi erektil atau lebih dikenali sebagai mati pucuk (ED) sentiasa atau kadangkala merancang lebih awal untuk melakukan hubungan seks pada masa tertentu. Bukan itu sahaja, masa juga memainkan peranan penting dari segi perancangan kerana tujuh daripada 10 (70%) lelaki lazimnya melakukan hubungan seks dalam tempoh sejam selepas mengambil dos ubat dan hampir semua lelaki (96%) melakukannya dalam tempoh empat jam selepas mengambil dos ubat.”
Apa itu ED?
Kajian mendapati bahawa kira-kira seorang daripada setiap 10 lelaki mengalami masalah berkaitan seks, seperti ED. Masalah ereksi untuk kaum lelaki ketika hubungan seks dan ia bukan penanda aras nafsu seks lelaki. Antara faktor penyebab ED seperti kerisauan untuk berasmara, kemurungan, hilang keyakinan, keraguan, rasa malu atau negatif terhadap badan atau jangkaan kurang realistik tentang prestasi seks. Dalam gaya hidup masa kini yang pantas dan kompetitif, faktor-faktor penyebab ini sering dilihat.
Memandangkan topik ED tidak dibincangkan dan diterima secara terbuka, kaum lelaki sering merasakan bahawa mereka keseorangan menghadapi masalah ini. ED juga mempengaruhi kepada pasangan lelaki tersebut kerana ia sesuatu yang dikongsi bersama. Cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ED ialah berbincang secara terbuka dengan pasangan. Mereka perlu menyatakan keperluan seks masing-masing dan juga keupayaan untuk melakukan hubungan. Komunikasi terbuka mengurangkan tekanan terhadap satu sama lain dan membolehkan mereka merancang saat-saat intim bersama yang memuaskan.
Rawatan boleh dilakukan dengan ubat atau dengan memilih gaya hidup sihat seperti mengurangkan pengambilan alkohol, berhenti merokok dan menukar amalan pemakanan. Tetapi buat permulaan, kaum lelaki perlu berani untuk berbincang tentang ED. Ini untuk mereka sedar dan menerima hakikat bahawa mereka menghidap ED.
“Seramai 53% daripada lelaki Malaysia menganggap hubungan seks yang sihat amat penting untuk rumah tangga yang bahagia. Jangan putus asa dan membiarkan ED menjejaskan hubungan anda. Dalam usaha mengembalikan kemampuan anda melakukan hubungan seks, anda perlu sedar bahawa terdapat banyak cara untuk memulihkan keadaan anda, seperti bersenam dan mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang,” kata Prof Dr George Lee, Pakar Runding Urologi dari Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.
Memandangkan hubungan seks memang menjadi lumrah hidup suami isteri, orang ramai seharusnya lebih bersikap terbuka untuk membincangkan topik ini, terutamanya dari sudut prestasi seks. Salah satu masalah berkaitan seks yang dialami oleh lelaki, yang menjejaskan hubungan intim yang sihat ialah ED.