Jabatan kesihatan negeri Terengganu mengesahkan kematian seorang wanita yang sedang hamil di Hospital Sultanah Nur Zahirah Khamis lalu gara-gara berpunca dari jangkitan virus Influenza A (H1N1).
Dr Mohamad berkata, pesakit itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 7 April lalu selepas demam selama seminggu.
“Kita memberikan rawatan terbaik namun pesakit gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada 13 April lepas.
“Pesakit mendapatkan rawatan di klinik swasta sebelum dirujuk ke HSNZ. Dia terus dimasukkan ke ICU sebaik tiba di HSNZ,” katanya pada sidang media di HSNZ, semalam.
Dalam masa yang sama, Dr Mohamad juga menggesa agar masyarakat setempat tidak menyebarkan viral berkenaan kerana virus H1N1 dianggap selsema bermusim dan tidak berbahaya.
“Sejak 2013, H1N1 tidak lagi berbahaya kecuali kepada golongan tertentu sehingga perlu dipantau dan dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
“Ia berisiko menjadi teruk kepada empat golongan iaitu kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan pesakit kronik,” katanya.