Penantian demi penantian bersama usaha yang tak pernah putus. Jaguh berbasikal negara Mohd Azizulhasni Awang berjaya merangkul pingat emas pertama negara acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong semalam.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ menghadapi tentangan sengit daripada lima pelumba lain sebelum mencecah garisan penamat untuk meraih pingat emas dalam perlumbaan yang diadakan di Hong Kong Velodrome Park.
Pelumba Colombia Fabian Hernando Puerta Zapata memenangi perak manakala gangsa milik pelumba Tomas Babek dari Republik Czech, menurut laman web kejohanan tersebut di www.trackworldchamp.hk.
Terdahulu, seorang lagi pelumba Malaysia Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang pertama kali bersaing di kejohanan dunia, gagal mara ke pusingan kedua selepas menamatkan kedudukan di tempat kedua dalam perlumbaan repechage pertama, di belakang pelumba Jerman, Joachim Eilers.
Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus akan memberi tumpuan acara pecut individu, yang berlangsung Sabtu ini.