Walaupun telah diharamkan kerajaan sejak 1949, pihak berkuasa China hingga ke hari ini masih bergelut dalam usaha menangani kegiatan mencuri mayat untuk ‘perkahwinan hantu’.
Ia membabitkan usaha keluarga untuk mendapatkan mayat wanita bagi ditanam bersama mayat lelaki yang belum berkahwin, kononnya supaya lelaki berkenaan tidak kesunyian dalam kehidupan selepas mati.
Agensi berita Xinhua melaporkan, kegiatan itu masih wujud di kawasan pendalaman, khususnya di utara negara itu.
Menurut laporan berkenaan, kepercayaan itu mendatangkan keuntungan besar kepada penjenayah yang bersedia mendapatkan mayat wanita, kadang kala hingga melakukan pembunuhan.
Di wilayah Shanxi dilaporkan 27 mayat wanita dicuri sepanjang tiga tahun lalu. Jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana ada keluarga malu untuk melaporkan kehilangan mayat anggota keluarga mereka.
Menurut sumber dari Xinhua lagi, seorang lelaki bernama Ching Ming membelanjakan 180,000 yuan (RM116,000) untuk membeli mayat seorang wanita untuk ‘dikahwinkan’ dengan anaknya yang sudah mati. Dia terpaksa sentiasa menjaga kubur anaknya bagi memastikan mayat wanita itu tidak dicuri untuk dijual kepada pihak lain.