Percintaan memerlukan keberanian kerana bukan senang untuk jatuh cinta pada orang dan tidak mudah juga untuk ‘memancing’ orang agar mencintai kita serta menerima diri ini seadanya.
Keadaan ini berbeza apabila dilihat menerusi perspektif lelaki.
Ternyata lelaki lebih bijak dan logik kerana mempunyai sembilan akal berbanding wanita yang hanya memiliki satu akal ditemani sembilan nafsu. Oleh itu, lelaki lebih berhati-hati dalam mencari cinta meskipun tahu yang dirinya tidak cukup sempurna untuk memenuhi keinginan wanita.
Untuk pengetahuan semua, seorang lelaki akan benar-benar setia jika dia menyayangi wanita tersebut. Dalam erti kata lain, dia akan membuka pintu hati sepenuhnya untuk si gadis pilihan. Tapi, apa yang membuatkan mereka berubah fikiran di tengah jalan?
Wanista senaraikan lima sebab munasabah kenapa lelaki boleh berubah hati:-
#1 Dibanding-Banding Dengan Lelaki Lain
Tak ada perkara yang lebih memedihkan untuk lelaki pabila dirinya dibanding-bandingkan dengan lelaki lain yang lebih gah dan hebat daripadanya.
Apabila seorang wanita mula membanding-banding serta mempersoal akan kredibilitinya sebagai seorang lelaki (lebih-lebih lagi jika contoh itu adalah bekas teman lelaki wanitanya), itu sebenarnya adalah punca kerentakan sesebuah hubungan.
Lelaki tak suka bila perempuan mengungkit
Lelaki mahu dianggap berharga oleh pasangannya. Dia tidak mahu dengar tentang segala perkara manis atau sifat baik yang dimiliki bekas teman lelaki anda tu. Jagalah hatinya seperti mana anda mahu hati anda dijaga.
#2 Terasa Tercabar Dengan Status & Kejayaan Wanita
Mengikut kaji selidik yang dijalankan oleh University of Florida, lelaki akan berasa tercabar dan keyakinan dirinya bakal tergugat jika pasangan wanita lebih berpangkat tinggi atau lebih berjaya darinya.
Keadaan yang dilihat sebagai ‘terbalik’ itu setidak-tidaknya akan membuatkan lelaki berasa tergugat seterusnya meninggalkan wanita yang dicintainya. Jika dia meneruskan hubungan itu, dia bakal rasa menyesal dan selama-lamanya akan dihantui perasaan resah kerana gagal menjadi lelaki yang ‘sejati’.
#3 Tidak Suka Dibebel
Ya, memang lelaki boleh tahan dengan karenah ‘mengada-ngada’ perempuan, tapi kalau dah selalu sangat, itu mencari nahas namanya.
Sifat anda yang kuat membebel dan merengek tu sebenarnya sejenis bisa yang boleh mendatangkan malang di dalam hubungan.
Lelaki mungkin berperangai seperti kanak-kanak tetapi mereka adakalanya akan rasa tercabar jika layanan anda terhadapnya seperti kanak-kanak. Mereka juga mahu berasa dihargai oleh pasangan.
Janganlah menengking atau meninggikan suara terhadap lelaki. Jika hendak berbalah sekalipun, berbalah cara orang besar dan jangan pula sehingga melukakan hati siapa-siapa.
Menurut kajian, jika seseorang bercakap dengan nada tinggi terhadap lawannya, 88% orang itu akan membalas percakapan dalam nada yang tinggi juga. Sila hati-hati.
#4 Kurang Kemesraan Bersama
Percaya atau tidak, lelaki sebenarnya gemarkan/butuhkan perhatian…
Oleh itu, wanita harus tahu memberi perhatian yang secukupnya kepada lelaki tanpa perlu disuruh atau diminta jika tidak mahu ditinggalkan.
Ini kerana, lelaki bukan seperti wanita yang lantang menyuarakan pendapat tentang kemahuan hati.
#5 Dikongkong
Lelaki perlukan ruang untuk lakukan apa yang mereka mahu. Mereka tidak suka dilayan seperti banduan. Mereka adakalanya memerlukan kawan-kawan.
Jika sudah berkahwin, janganlah anda memandai-mandai untuk menghalang si suami untuk lakukan apa yang mereka suka. Sebaliknya sokonglah minatnya seperti seorang cheerleader!
Jika wanita terlalu mengongkong lelaki, mereka akan rasa terhina seterusnya membuat keputusan meninggalkan anda. Sekarang siapa susah?
Jaga hati masing-masing dan cuba mendalami isi hati pasangan dahulu sebelum bertindak. Guna akal, bukan guna hati. Selamat beramal!