Bintang bola sepak Cristiano Ronaldo dilapor akan menjadi bapa kepada dua anak kembar lelaki yang menggunakan seorang ibu tumpang warga Amerika Syarikat.
Keluarga tidak sabar menanti kelahiran anggota keluarga baru mereka. Walaupun tidak gemar mendedahkan kehidupan peribadi, Ronaldo sudah memberitahu orang terdekat dan rakan karibnya mengenai kelahiran bayi kembar itu sedikit masa lagi.
Sumber itu memberitahu akhbar The Sun: “Bintang bola sepak itu merasakan sudah tiba masanya anaknya Cristiano Jr yang dilahirkan pada 2010 mempunyai adik. Ibunya, Dolores akan membantu menjaga bayi itu, sama seperti dia menjaga anak Ronaldo sebelum ini.”
Cristano Jr juga dilahirkan menerusi ibu tumpangan dan identiti wanita tersebut dirahsiakan.
Menurut The Sun, seorang yang rapat dengan Ronaldo akan membantu membawa bayi kembar berkenaan ke Sepanyol sebaik mereka dilahirkan.
Pemain penyerang Real Madrid itu yang kini berpacaran dengan Georgina Rodriguez, 23.
Bercakap sebelum ini mengenai Cristiano Jr membesar tanpa ibu, bintang bola sepak itu berkata: “Bagi saya, ia tidak ada masalah. Ramai kanak-kanak di dunia tidak mempunyai ibu atau ayah.”