Sebagai seorang manusia, kita semua tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan. Lebih parah apabila kejahilan itu sebenarnya berlaku tanpa sedar.
Apa kan daya, perasaan iri hati yang diselit dengan sifat pentingkan diri adalah sejenis penyakit jiwa yang bisa merosakkan perilaku seseorang terhadap dirinya sendiri serta menjejaskan hubungannya dengan orang di sekeliling.
Sifat berat sebelah atau mementingkan diri sendiri ini boleh berlaku dalam pelbagai keadaan sama ada di dalam perhubungan bersama pasangan, antara diri dan keluarga bahkan terhadap orang lain.
Untuk menyedarkan anda, Wanista rungkai 11 tanda yang boleh melabelkan anda sebagai seorang yang “selfish”.
#1 Sukar Berkorban Demi Orang Lain Namun Mahu Orang Berkorban Untuknya
Yang ini memang tidak adil. hendak orang bersusah-susah untuk dirinya tetapi liat sungguh berkorban untuk orang lain.
Sebagai contoh dalam percintaan, anda marah-marah mahu si dia luangkan masa dengan anda, tetapi waktu dia memerlukan semangat dari anda, entah ke mana anda menghilangkan.
#2 Hanya Fikirkan Diri
Jika anda hanya memikirkan tentang diri sendiri dalam apa situasi sekalipun tanpa mengambil kira perihal orang lain, sah anda sebenarnya jenis pentingkan diri. Ingat, ‘keutamaan’ tidak selalunya perlu diberikan kepada diri sendiri.
Jika anda sejenis manusia yang memiliki hati mulia seperti Snow White, sudah tentu anda akan meminjamkan keutamaan itu pada orang lain, lebih-lebih lagi buat si dia dan kaum keluarga tersayang.
#3 Apabila Tidak Pernah Memikirkan Kesan Dari Tindak-Tanduk Yang Dilakukan
Sesetengah tindakan anda mungkin telah memberi kesan buruk terhadap orang lain, itu adalah perkara paling mustahak untuk diambil kira sebenarnya tahu?
Jika ia memberi impak yang menjejaskan buat individu lain dan anda tidak pernah mempedulikannya, anda memang jenis keras hati dan sangat mementingkan diri.
#4 Tidak Tahu Berterima Kasih
Tidak tahu berterima kasih adalah salah satu tanda jelas bahawa dia ini adalah seorang yang pentingkan diri.
Biarpun sedikit pengorbanan yang dilakukan orang itu untuk anda, itu tetap dikira pengorbanan menandakan dia benar-benar mengambil berat dan sayangkan anda. Tetapi, jika anda jenis yang tak tahu malu, tak tahu berterima kasih mahupun menunjukan penghargaan buat si dia, anda memang sengaja cari nahas dna boleh dilabel sebagai SELFISH!
#5 Suka Sangat Mengawal & Mengarah
Orang yang suka mengawal adalah mereka yang mahu kehendaknya sahaja dipenuhi. Dalam masa yang sama akan ‘menggunakan’ orang lain untuk mencapai kemahuannya itu.
#6 Suka Memanipulasi
Sebab anda rasa anda dah cukup bagus, cukup baik, cukup sempurna daripada orang lain, walhal???
Suka sangat meracun fikiran orang untuk bertindak mengikut cara anda kerana anda rasa anda sahaja yang betul dalam satu-satu hal. Tapi itu bukan bijak namanya, itu pentingkan diri.
#7 Memiliki Tahap Ego Yang Tinggi Menggunung
Angkuh dan gemar membangga diri dengan apa yang anda ada serta status diri yang popular itu sedikit sebanyak telah menunjukkan anda selfish. Lebih parah jika anda rasa, andalah yang paling mulia berbanding orang lain yang anda anggap ‘biasa-biasa’ itu.
#8 Sakit Hati Lihat Kejayaan Orang Lain
Hasad-dengki adalah salah satu tanda utama si busuk hati yang selfish.
#9 Sukar Untuk Bekerjasama
Bab ini penulis pun pernah ‘terkena’ masa belajar dahulu. Buat projek berkumpulan tapi yang hanya buat kerja cuma seorang, dua sahaja. Mana ahli kumpulan yang lain? Semuanya mengelat pentingkan diri.
#10 Sukar Terima Kesalahan Diri
Sudah terang lagi bersuluh itu salah anda tetapi malu untuk menerima hakikat. Sudahlah, anda sebenarnya mementingkan diri kerana semata-mata mahu menyelamatkan nama baik sendiri, anda sanggup meletakkan kesalahan itu pada orang lain. Hey, tak rugi pun kalau mengaku salah.
#11 Tidak Melayan Orang Dengan Baik
Kenapa perlu biadab dengan orang? Sebaliknya anda harus melayan orang sebaik mungkin seperti mana anda mahu mereka melayan anda dengan baik.
Siapa yang makan cili, dialah terasa pedas. Terimalah hakikat kerana jika anda tidak berubah, anda mungkin akan terus hanyut dalan keegoan yang memusnahkan hidup dan masa hadapan diri sendiri dan orang lain terutamanya yang tersayang.
Hmm… Tapi kan, dalam sesetengah hal ada baiknya kita pentingkan diri sendiri tau? Bergantung kepada situasi.
Selamat beramal!