Dilaporkan, telefon peribadi milik Fuehrer Adolf Hitler yang digunakan beliau untuk memberi arahan ketika Perang Dunia Kedua, dijual pada harga AS$243,000 (RM1.08 juta) dalam satu acara lelongan.
Pusat Lelongan Bersejarah Alexander yang mengendalikan lelongan tidak mendedahkan identiti pemenang bidaan itu. Sebelum ini, pusat itu menganggarkan telefon berkenaan bernilai antara AS$200,000 (RM891,000) hingga AS$300,000 (RM1.33 juta).
Bidaan itu dimulakan pada harga serendah AS$100,000 (RM445,000). Telefon Bakelit itu yang asalnya berwarna hitam, dicat merah dan diukir dengan nama Hitler.
Relik itu ditemui di kubu pertahanan pemimpin Nazi pada 1945 sejurus kekalahan rejim itu. Telefon berusia lebih 70 tahun itu adalah jenis dail berputar jenama Siemens dan dicetak dengan lambang swastika serta helang Third Reich, iaitu empayar pemerintahan Nazi.
Syarikat Maryland melelong lebih 1,000 barangan, termasuk telefon dan sebuah ukiran porselin seekor anjing Alsatian yang berharga AS$24,300 (RM108,300). Kedua-dua pemenang membidanya melalui telefon.