Hebat! Globetrotter Cassie De Pecol, 27, wanita yang berasal dari Connecticut, Washington memecah rekod dunia apabila menjadi manusia terpantas mengembara ke semua negara di dalam dunia – 196 buah negara – dalam masa 18 bulan dan 26 hari.
Misinya bermula pada Julai 2015 dan dia sendiri menyifatkan dirinya sebagai seorang pengembara, penjelajah, aktivis persekitaran, aktivis hak wanita dan keamanan, pendidik, atlet triatlon, dan usahawan.
Bagi membiayai perjalanannya ke 196 negara itu, Cassie peruntukkan $198,000 (RM880,000) yang diperoleh menerusi simpanan, tajaan, sokongan dan upahnya ketika menjadi pengasuh kanak-kanak yang berjumlah $10,000 (RM 44,000).
Pada hujung 2016, Cassie telah menempah tiket-tiket ke 180 negara dan telah menaiki 254 penerbangan dalam masa 15 bulan.
“Sejak sekolah, saya mempunyai keinginan untuk melawat semua negara di dunia, dicetuskan oleh perasaan ingin tahu setiap budaya, habitat dan agama” jelas Cassie.
“Saya ingin tahu apa yang wujud di luar Utara Amerika dan bagaimana perasaan (berada di sana). Adakah Timur Tengah sama seperti yang diceritakan di dalam berita? Bagaimana pula dengan Amazon?”
“Menjejak kaki ke semua negara adalah satu tujuan peribadi saya bagi mempelajari sebanyak mungkin tentang dunia kita, keluar dari zon selesa saya dan menjadi selesa dengan mereka yang asing, dan dalam masa sama mahu meninggalkan legasi.”
Dia bukan sahaja menjadi manusia terpantas mengembara ke semua 196 negara, malah menjadi wanita pertama yang berbuat sedemikian dan kini dia sudah pun mengatur pelan untuk pengembaraan ke Antartika.