Tak habis lagi perbalahan antara pasangan Brad Pitt dan Angelina Jolie.
Paling terkini, Pitt dilaporkan enggan membayar nafkah anak sebanyak AS$100,000 (RM442,000) kepada bekas isterinya itu. Menurut sumber, Pitt tiada masalah menjaga enam anak mereka, Maddox, Pax, Zahara, Shiloh dan kembar Vivienne dan Knox, tetapi tidak akan membayar nafkah anak kepada Jolie.
Sumber berkata, AS$250,000 (RM1.1 juta) akan dimasukkan ke dalam tabung amanah setiap seorang anak mereka setiap tahun, yang dihadkan AS$5 juta (RM22 juta).
“Itu merangkumi semua perbelanjaan anak mereka selain mewujudkan tabung amanah bagi setiap seorang kanak-kanak itu,” kata sumber.
Jolie dikatakan berharap perceraian dapat dipercepatkan dalam masa 90 hari.
“Angie mahu perceraian mereka rasmi dalam masa 90 hari, termasuk hak penjagaan dan harta sepencarian. Namun dengan apa yang dimintanya, ia mungkin sukar. Beliau membuat tuntutan kewangan tidak masuk akal,” kata sumber lagi.
Jolie dan Ptt mengejutkan dunia apabila aktres itu memfailkan perceraian pada 19 September 2016, memohon hak penjagaan tunggal enam anak mereka.
Baru-baru ini, Jolie dan enam anak mereka, meraikan sambutan Tahun Baru di Colorado tanpa Pitt. Pelakon berusia 41 tahun itu membawa anak mereka ke Colorado selepas bertemu Pitt pada Krismas.