Berikutan cuaca yang tidak menentu awal tahun ini, kes Denggi telah meningkat sebanyak 9 peratus iaitu sebanyak 5,592 kes demam denggi dilaporkan berlaku di seluruh negara sejak 1 hingga 21 Januari, tahun ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 47 peratus iaitu 4,890 kes berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan berlaku sebanyak sembilan peratus dilaporkan pada 15 hingga 21 Januari lalu iaitu 2,053 kes berbanding 1,876 kes pada minggu sebelumnya.
“Bagi minggu ketiga (15 hingga 21 Januari), terdapat enam kematian dilaporkan menjadikan jumlah kematian denggi sehingga 21 Januari sebanyak 13 kematian, berbanding 23 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.
“Terdapat enam negeri yang menunjukkan peningkatan kes pada minggu ketiga berbanding minggu sebelumnya iaitu Selangor, Perak, Kedah, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya mempertingkatkan tahap kebersihan di mana-mana tempat yang berpotensi untuk pembiakan aedes.
Untuk pengetahuan semua, perubahan cuaca yang ketara sebenanrnya bisa meningkatkan potensi pembiakan nyamuk pembawa virus seperti aedes lebih-lebih lagi jika takungan air dibiarkan untuk menjadi tempat pembiakannya.