Semalam, pasangan ini secara tertutup telah mengikat tali perkahwinan di sebuah gereja katolik di Seoul yang hanya dihadiri kaum keluarga kedua belah pihak serta kenalan rapat selebriti bagi meraikan hari yang penuh bermakna itu.
Antara individu penting yang meluangkan masa untuk hadir ke resepsi itu adalah termasuk wali bayi (godfather) kepada Rain, Ahn Sung Ki yang juga pernah hadir saat Rain dibaptiskan sekitar tahun 2014, sahabat baiknya, Psy serta ahli kumpulan g.o.d.
Dalam sebuah foto yang dikongsikan sumber, Rain kelihatan begitu tampan dalam persalinan tuksedo hitam sambil bersarung tangan manakala Kim Tae Hee dilihat manis dalam gaun pendek renda serba putih serta rambut yang disanggul kemas sebelum disemat dengan veil ringkas.
Diraikan dalam majlis yang cukup berserdehana, pasangan selebriti ini mula bertaut kasih dari 2012 dan akhirnya berkahwin selepas 5 tahun.
Laporan mengatakan, kos perkahwinan secara keseluruhan hanyalah bernilai 1,100 USD termasuk sewaan lokasi serta bayaran untuk pelayan tetamu.
Sejurus selepas majlis, Kim Tae Hee tidak ketinggalan sempat berkongsi surat ucapan terima kasih buat semua yang terlibat.
Isi surat tulisan tangan tersebut berbunyi:-
“Hari ini adalah hari pertama kami sebagai pasangan suami isteri akan meneruskan perjalanan yang panjang, dan kami mahu mengambil peluang untuk mengucapkan ribuan terima kasih buat para peminat yang begitu teruja menyokong kami dan menjaga kami selama ini.
“Kami berjanji akan menjaga satu sama lain, menghormati satu sama lain dan buat yang terbaik untuk bantu satu sama lain serta menjadi pelengkap kepada kekurangan masing-masing. Dengan hati yang tulus dan ikhlas, kami telah dirahmati dengan kasih dan cinta yang anda semua berikan, saya tentunya akan laksanakan komitmen sebagai pelakon yang terbaik buat anda di samping menjadi isteri terbaik untuk keluarga baru saya.
“Lelaki ini yang akan menjadi peneman hidup saya, kami akan menyokong satu sama lain dengan memberi kekuatan. Saya harap semua berada dalam keadaan yang baik-baik dan saya berdoa agar anda semua sentiasa sihat, dilimpahi dengan kebahagiaan sempena permulaan tahun baru ini. Sekali lagi, saya seikhlas hati mahu mengucapkan terima kasih kepada semua.”
Ahn Sung Ki dalam sebuah temu ramah berharap anak angkatnya itu akan menghasilkan zuriat yang ramai.
“Mereka telah berjaya meneruskan hubungan sejauh ini dan sesungguhnya mereka sangat sesuai menjadi pasangan bahagia. Saya berharap mereka akan dapat meneruskan hidup yang lebih bahagia selepas ini dan bakal dikurniakan anak secepat mungkin. Saya pasti anak mereka akan menjadi rupawan dan sihat seperti mereka.”
Bagaimanapun, pasangan itu belum lagi merancang berkenaan percutiaan bulan madu dalam masa terdekat ini dan mereka berdua akan terus tinggal di kediaman milik Rain di daerah Chungdam-dong, Seoul.
Apabila ditanya soal anak, Kim Tae Hee belum merancang apa-apa lagi namun ada menyatakan hasratnya untuk mempunyai anak comel dan lincah seperti anak-anak selebriti lain yang muncul dalam rancangan realiti televisyen Return of Superman.
Wanista ucapkan Tahniah sekali lagi buat pasangan ini!