Bintang besar Bollywood, Salman Khan tidak pernah asing dari kontroversi keganasan. Pada 2015, beliau dibebaskan daripada satu tuduhan langgar lari yang menyebabkan seorang gelandangan terbunuh.
Kali ini pula, keputusan mahkamah semalam telah membebaskan beliau daripada tuduhan menggunakan senjata api tanpa lesen untuk membunuh haiwan liar yang dilindungi hampir 20 tahun lalu.
Salman, 51, dibebaskan dari tiga daripada empat tuduhan yang dihadapinya kerana memburu rusa tempatan ketika menjalani penggambaran di Rajashtan, negeri di barat laut India pada 1998.
Beliau hadir di mahkamah semalam untuk mendengar keputusan perbicaraan sementara ratusan anggota polis mengawal orang ramai yang berkumpul di luar.
Peguam Salman, Hastimal Saraswat memberitahu wartawan, pelakon itu dibebaskan kerana kurang bukti.
Pendakwa raya, BS Bhati berkata, pihaknya akan merayu keputusan berkenaan selepas meneliti dokumen 102 muka berkenaan.
Namun, Salman masih berdepan tuduhan keempat – memburu rusa yang dilindungi dan keputusan itu kini dicabar di Mahkamah Agung.