Berita & Isu Semasa

Melaka Sekat Penjualan Alas Kaki Ayat Al-Quran Yang Diimport Dari Indonesia

Afiqah Syamin
/
Bukan hipster atau hijabista,Cuma seorang gadis yang cintakan tradisi, bersifat feminin dan amat menghargai setiap bait lirik dalam lagu dan muzik ciptaan Coldplay.Fesyen? Sangat obses dengan karya rekaan Oscar de la Renta dan Dolce & Gabbana ❀️
Melaka Sekat Penjualan Alas Kaki Ayat Al-Quran Yang Diimport Dari Indonesia

Beberapa bulan lalu, telah tersebar satu gambar yang menunjukan cebisan ayat Al-Quran dijumpai pada bahagian dalam alas kaki yang dibeli di sebuah pasaraya terkemuka daerah Melaka.Β 

Terkini,Β Kerajaan negeri Melaka melalui Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bekerjasama dengan Badan Islam Semarang, Jawa Tengah, Indonesia dalam mengekang penjualan alas kaki menggunakan helaian kertas mengandungi tulisan al-Quran.

Ketua penolong pengarah bahagian penguatkuasaan Jaim Rahimin Bani berkata kerjasama berkenaan dicapai hasil lawatannya dan ketua penolong pengarah penyelidikan Jaim Muhammad Mawardi Shafai ke Jawa Tengah, Indonesia selama tiga hari bermula 11 Disember lepas.

Beliau berkata dalam kunjungan berkenaan beliau dan Muhammad Mawardi berpeluang ke pejabat pembekal alas kaki berkenaan yang terletak di Kranggan Kecamatan Semarang, Jawa Tengah, Indonesia.

“Kami berjaya mengesan pembekal alas kaki ini melalui maklumat daripada pemborong di Krubong, Melaka dan kami berjaya rampas alas kaki yang ada, hasil aduan dan maklumat orang ramai sebelum ini.

“Di pejabat berkenaan saya berkesempatan berjumpa dengan seorang lelaki berkaitan perusahaan penjualan alas kaki di Indonesia,” katanya kepada Bernama

“Hasil pertemuan dengan pihak pengurusan Islam di Semarang melalui Masjid Agung Jawa Tengah, mereka menyatakan terima kasih kepada kerajaan negeri Melaka yang menyalurkan maklumat berkaitan isu alas kaki mengandungi tulisan ayat al-Quran.

“Isu berkenaan turut berlaku di Indonesia dan mendapat liputan media kerana ia menimbulkan kemarahan penduduk Islam di sana dan pihak kerajaan Indonesia melalui badan pengurusan Islam mereka sedang memantau dan mengekang penjualan alas kaki tersebut di sana,” katanya.

Sementara itu, katanya, peniaga di Krubong yang membeli alas kaki dianggarkan seberat lima tan bernilai lebih RM25,000 akan menyerahkan alas kaki berkenaan kepada pihaknya untuk tujuan pelupusan mengikut kaedah sebenar bagi menjaga kesucian ayat suci al-Quran.

“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada pemborong tersebut, kami menerima banyak alas kaki seumpama itu yang dipulangkan oleh peniaga kedai dan kita sangat berterima kasih dengan tindakan mereka.

“Selain itu, orang ramai yang masih menyimpan alas kaki yang berlapikkan ayat al-Quran diminta menyerahkan kepada JAIM untuk dilupuskan,” katanya.

Beliau berkata semua alas kaki berkenaan akan dilupuskan dengan cara menanamnya di kawasan yang sesuai. – Bernama

SUMBER 1 & 2

Komen Anda