Hukuman yang lebih serius termasuk sebatan akan dikenakan terhadap mana-mana pegawai perkhidmatan awam yang terlibat dengan salah guna kuasa termasuk rasuah.
Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) dalam sebuah kenyataan berkata, amalan rasuah yang melibatkan wang berjumlah besar dalam kalangan pegawai perkhidmatan awam sangat membimbangkan dan merosakkan reputasi perkhidmatan itu serta negara.
Menurut kenyataan itu lagi, pegawai perkhidmatan awam yang telah diamanahkan sepatutnya tidak menyalahgunakan kedudukan dan kuasa mereka untuk mengkhianati dan melakukan pecah amanah.
“Perlu diambil perhatian bahawa terdapat negara-negara yang menjatuhkan hukuman mati kepada pegawai-pegawai kanan pekhidmatan awam yang didapati bersalah melakukan rasuah, terutamanya yang memegang jawatan kanan,” tambah kenyataan itu.
Oleh yang demikian, Alumni PTD meminta ihsan pihak berkuasa dalam perkhidmatan awam untuk meningkatkan penerapan etika dan integriti agar perkara ini dapat dibendung segera.