Isu halal sejak kebelakangan ini sering menjadi antara isu hangat yang diperdebatkan oleh masyarakat lebih-lebih lagi apabila ada kaitan dengan makanan dan minuman yang dibeli dari rangkaian cawangan snek-snek jenama luar negara. Perasaan ragu-ragu sering menghantui pengguna serta pelanggan.
Baru-baru ini, lapan badan pensijilan dan logo halal dari Australia antara 60 badan pensijilan dan logo halal luar negara yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di seluruh dunia.
Portal rasmi halal Malaysia, Bahagian Hab Halal JAKIM ada menyenaraikan empat pihak berkuasa yang diiktiraf iaitu Lembaga Mengeluarkan Permit Import Halal, Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syar’iah dari Brunei; Egyptian Organization for Standardization & Quality (EOS) (Mesir); Institut Marocain De Normalisation (IMANOR) (Maghribi) dan Islamic Chamber Research & Information Center (ICRIC) dari Iran.
Tidak ketinggalan, badan pensijilan dan logo halal yang ditarik balik pula adalah Islamic Association of Henan, China; NZ Islamic Meat Management & NZ Islamic Processed Foods Management, New Zealand; The Halal Catering Argentina, Argentina dan Muslim Judicial Council Halaal Trust (MJCHT), Afrika Selatan.
Untuk keterangan lanjut, sila layari www.halal.gov.my untuk semak status halal produk atau premis perniagaan serta melihat badan pensijilan dan logo halal luar negara yang diiktiraf JAKIM.
Dalam pada itu, laman Facebook rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di www.facebook.com/MyJakimMalaysia turut ada menyenaraikan imej logo halal luar negara yang disahkan untuk panduan semua.