2017 telah membuka tirai baru kepada pelakon kacak Fattah Amin apabila beliau telah melancarkan single terbaharu berjudul Wanita Terakhir.
Bintang drama fenomena Suri Hati Mr Pilot ini dikatakan memang berminat dalam bidang nyanyian dan pernah muncul bersama single Hero Untuk Mu, hasil kolaborasi bersama RJ dan Sherry Ibrahim, pada 2015.
Lagu Wanita Terakhir diterbitkan syarikat yang menaunginya, Fastyle dengan kerjasama Kasi Gegar Entertainment.
Menurut Fattah, lagu terbabit ialah hadiah cukup bermakna buat peminat yang terus menyokong diri dan kerjaya seninya selama ini.
“Single ini hadiah ikhlas daripada hati saya untuk semua peminat. Saya cukup terharu dengan sokongan amat luar biasa diberikan mereka terhadap saya sejak akhir-akhir ini.
“Semoga anda semua terhibur dengan lagu terbaru saya ini,” ujar Fattah.
Kata pemuda berusia 26 tahun ini lagi, lagu berkenaan dilancarkan secara digital bagi memberikan peluang dan berlaku adil kepada semua peminatnya di Malaysia dan luar negara.
“Saya mendapati, selain sokongan padu daripada kelab peminat saya iaitu The FA Team, wujud juga pengikut “lofattah” dari seluruh pelusuk dunia. Mereka mungkin rakyat Malaysia atau orang Melayu yang menetap di luar negara, tetapi masih mengikuti perkembangan kerjaya seni saya di Malaysia,” katanya lagi.
Wanita Terakhir ialah karya hasil ciptaan Aizat Amdan, Mel Ramlan dan Anas Amdan.
Menurut Anas selaku penerbit muzik lagu berkenaan, keseluruhan karya terbabit diciptakan bagi memaparkan sisi baru Fattah yang lebih matang sesuai dengan perkembangan kerjaya beliau.
Lagu ini dilancarkan secara langsung dari Eropah oleh Fattah sendiri melalui aplikasi FB Live beliau. Teaser berdurasi 1 minit pula boleh didapati di ruang media sosial artis lelaki itu, seperti Instagram, Facebook dan YouTube.