Ramai di antara kita masih pening kepala mengenai cara-cara sah mandi wajib. Tahukah anda bahawa tidak sah solat kita jika tidak menyempurnakan mandi wajib mengikut hukum yang sebenarnya.
Untuk meleraikan kegelisahan anda, apa kata Wansita kongsikan panduan dan cara mudah mandi wajib mengikut JAKIM. Ianya lebih mudah dan buat anda yang selama ini ragu-ragu itu, ada baiknya anda memperbetulkan cara sementara masih mampu. Jom sama-sama kita perbaiki kesalahan kecil yang sebenarnya memberi impak besar pada sah solat harian kita.
Rukun mandi wajib?
Ada tiga:-
- Niat. Niat ini hanya diucapkan di dalam hati dan tidak perlu diucapkan secara lisan.
- Menghilangkan kotoran dan najis pada badan. Ertinya membersihkan najis boleh disatukan dengan mandi wajib.
- Meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir (terlihat) termasuk semua lipatan badan. (Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah). Meliputi kulit, rambut dan bulu yang ada di badan, sama bulu-bulu yang jarang atau lebat.
Hukum menyempurnakna mandi wajib?
Wajib jika:-
Sebab Bagi Perempuan:
- Melahirkan anak
- Nifas iaitu darah yang keluar ketika melahirkan anak
- Keluar darah haid -perempuan datang bulan. “Jika datang haid, maka tinggalkan solat. Dan jika telah lewat, maka mandi dan Solatlah” (HR. Al Bukhari)
Sebab Bagi Lelaki dan Perempuan:
- Melakukan hubungan suami isteri (jimak) apabila kemaluan laki-laki dimasukkan ke dalam faraj (kemaluan perempuan) walaupun tidak keluar air mani -bersentuhan walaupun tanpa disertai keluarnya mani.
- Jika keluar air mani walaupun kemaluan lelaki tidak dimasukkan ke dalam faraj -keluarnya mani yang disertai syahwat, baik dalam keadaan tidur maupun terjaga.
- Keluar air mani kerana bermimpi.
- Mati (dimandikan).
Apa akan terjadi jika melengah-lengahkan mandi wajib?
Mandi wajib boleh ditunda dari malam sampai pagi. Pasangan yang berhubungan boleh menunda mandi wajib sampai pagi dan melakukan mandi wajib beberapa saat sebelum mengerjakan solat subuh, tetapi mereka disunatkan berwudhu sebelum tidur jika ingin menunda mandi wajib sampai pagi. Sebagaimana sunnahnya berwudhu sebelum tidur.
Seorang muslim boleh melewatkan mandi wajib sebelum solat. Setelah masuk waktu solat, ia wajib mandi sebelum menunaikan solat.
Jika sengaja melambat-lambatkan mandi wajib, ia termasuk dosa.
Panduan & Cara Mandi Wajib
1. Niat ketika air sampai ke tubuh.
2. Membaca “Bismillah”.
3. Mencuci tangan sebanyak tiga kali.
4. Mencuci kemaluan dengan tangan kiri.
5. Membersihkan atau menyucikan tangan kiri dengan sabun.
6. Berwuduk. Wuduk boleh dilakukan seperti wuduk biasa seperti cara wuduk untuk solat. Atau anda boleh tangguh langkah membasuh kaki sehingga selesai mandi kemudian.
7. Basuh kepala dengan mengusap air secara rata pada rambut dan siram dengan air sebanyak tiga kali.
Berdasarkan hadith ‘Aisyah (R.A) dalam Sahih Al-Bukhari yang bermaksud:-
“Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian mengusap rambutnya, kemudian menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua-dua tangannya”.
Ketika menyiram kepala, hendaklah anda mulakan dari bahagian kanan kepala ke kiri, kemudian tengah kepala. Berdasarkan hadith ‘Aisyah (R.A) bermaksud:-
“Baginda menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri”.
Khusus bagi wanita, anda hendaklah menanggalkan ikatan rambut atau sanggul untuk memudahkan air mengalir di seluruh bahagian rambut dan kulit kepala. Sebelum mandi, sikat rambut terlebih dahulu agar ianya lurus tanpa kekusutan.
Pastikan rambut anda tidak berwarna selain dari pewarna inai. Jika ianya berwarna, kemungkinan mandi wajib menjadi tidak sah kerana ada jenis pewarna rambut yang tidak celus air.
Kotoran pada permukaan dan dicelah kuku yang sukar untuk hilang dengan air juga perlu dibersihkan terlebih dahulu.
8. Seperti sunnah nabi, mulakan mandi dengan bahagian kanan tubuh. Ini kerana nabi memulakan perbuatan yang baik-baik dari kanan termasuklah ketika menyarungkan sepatu, ketika bersikat, ketika bersuci dan dalam apa jua urusan (baik) yang lain.
9. Meratakan air ke seluruh tubuh.
10. Berwuduk sekali lagi jika hendak terus menunaikan solat fardhu. Perbezaan antara mandi wajib dan mandi sunat hanyalah pada niatnya sahaja. Selain dari itu adalah sama sahaja.
Wallahu’alam.
Selamat beramal! ❤