Pelawak, pelakon dan pengacara popular Zizan Razak, 32, mengaku rapat dengan bekas isteri pelakon Datuk Eizlan Yusof, Vie Syanty Harun tetapi menafikan mereka bercinta seperti yang hangat diperkatakan.
Zizan ketika ditemui berkata, jika betul dia bercinta dengan wanita yang juga ibu tunggal anak tiga itu, dia akan mengakuinya dan sama sekali tidak akan menyorokkan perkara itu.
“Buat masa ini memang tidak ada apa-apa hubungan serius. Kalau boleh saya tidak mahu bercakap lebih perkara ini. Tambahan pula Vie sebelum ini sudah membuat penafian di laman Instagram miliknya, jadi saya sama dengannya,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran filem Bikers Kental 2 di hotel di sini, malam tadi.
Pelakon filem Polis Evo ini juga menafikan dia dan Vie pergi menonton wayang berdua seperti didakwa banyak pihak.
“Memang kami pernah keluar tengok wayang, tetapi keluarga saya ada bersama. Begitu juga dengan dia.
“Cukup untuk saya katakan hubungan kami kini lebih kepada kawan dan urusan perniagaan,” katanya.