Info Menarik, Pilihan

20 Jenis Personaliti Manusia Di Tempat Kerja / Pejabat – Anda Jenis Yang Mana?

Aida Sue
/
Seorang pencinta sosial media, Aida Sue bukan hanya menulis, tetapi juga seorang tweep dan Instagrammer yang setia. Suka makan, fesyen, kopi dan melancong. Twitter/Instagram : @AidaSue
20 Jenis Personaliti Manusia Di Tempat Kerja / Pejabat – Anda Jenis Yang Mana?

Pelbagai ragam manusia yang dapat kita lihat semasa berada di pejabat. Ada yang lucu, ada yang pelik dan ada juga yang membuatkan kita tidak selesa. Menurut senarai dari Buzzfeed ini, terdapat 19 jenis ragam manusia semasa berada di tempat kerja atau pejabat.. Kami ingin berkongsi dengan anda tentang 20 jenis ragam orang di pejabat mengikut pendapat kami dan juga Buzzfeed. Jadi anda terdiri dari golongan yang mana?

IKLAN

1. Suka Ambil Tahu Mengenai Kerja Orang Lain

Orang jenis ini biasanya seperti ‘polis pejabat’. Suka memantau pekerjaan orang lain, lihat jika anda sedang membaca emel, berchatting di Facebook, atau melihat kualiti kerja anda walaupun dia bukanlah bos anda! Dia juga suka buat-buat sibuk di pejabat kononnya menjadi pekerja terajin dan terhebat.

2. Jenis Orang Yang Suka Berbual Di Tandas

Tandas merupakan tempat berbual kedua popular selepas pantri. Adakalanya orang di pejabat suka bergosip ataupun bergurau senda mengenai hal peribadi sampai terlupa yang terdapat orang lain yang mungkin ‘terdengar’ perbualan anda semasa mereka sedang ‘melabur’.

3. Jenis Obses Tentang Diet Dan Kesihatan

Terdapat segelintir rakan pejabat yang mungkin terlalu obses tentang kesihatan dan diet. Dia akan menghantar rantaian emel pada anda mengenai resepi sihat terkini ataupun jenis makanan yang tidak sihat yang perlu anda jauhi hingga menyebabkan orang lain tidak selesa. Orang jenis ini juga suka memberikan anda nasihat dan tips apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di pejabat yang membahayakan kesihatan anda.

4. Jenis Suka Promosi Bisnes Sampingan / Jualan Langsung / Produk Di Pejabat 

Ini merupakan jenis orang yang popular di mana-mana pejabat. Tanpa rasa malu dan segan, setiap hari dia mempromosi produk dari bisnes sampingannya, dan ada juga yang sempat menjual insuran di pejabat. Ada yang jenis memaksa sehingga menyebabkan rasa pejabat tidak selesa. Ada yang sampai bergaduh kononnya rakan tidak memberikan sokongan terhadap bisnesnya. Tetapi ini kan pejabat? Tempat dimana anda dibayar gaji untuk bekerja, bukan untuk mempromosikan bisnes sampingan anda!

IKLAN

5. Jenis Pantang Lihat Ada Makanan/Barang Orang Lain

Mungkin dia terlalu kedekut atau terlalu malas membeli makanan sendiri, tetapi pantang melihat makanan orang lain,pasti akan dimintanya. Ada yang mungkin tidak tahu erti malu, tanpa meminta izin, terus makan atau menggunakan barang milik orang lain. Terdapat ramai orang seperti ini di pejabat, dan orang seperti ini biasanya seperti parasit yang berkawan dengan orang lain untuk mendapatkan keuntungan.

6. Mendengar Lagu/Video Secara Terbuka Dan Kuat

Mungkin dia tidak pernah mendengar apa itu fon telinga ( headphone atau earphone ) dan tidak mengetahui apa fungsinya. Atau mungkin dia mahu orang lain mengetahui betapa ‘cool’ nya pilihan muziknya dan mahukan perhatian di pejabat. Adakah orang seperti ini tidak tahu perbuatannya mengganggu kosentrasi orang lain bekerja?

7. Jenis Bersepah Dan Pengotor

Kalau setakat meja sendiri bersepah, tidak mengapa. Tetapi sampai berbau dan menyepahkan tempat orang lain, itu sudah dianggap melampau. Mungkin di pejabatnya tidak ada sistem 5S atau mungkin dia terlalu sibuk sampai tiada masa mengemas meja sendiri. ( 5S – Sisih, Susun, Sentiasa Amal, Sapu, Seragam )

8. Jenis Datang Awal Setiap Hari Dan Buat Hal Sendiri

Orang seperti ini menjadi pekerja contoh dimana selalu datang kerja tempat pada masa, jarang ambil cuti sakit serta pulang selepas selesai kerja. Dia serius bekerja tetapi dalam masa yang sama tidak meninggalkan imej kurang selesa pada orang lain. Dia juga tidak bergosip mengenai orang lain dan tidak pilih kawan. Orang jenis ini jarang yang kita jumpa tetapi ada.

9. Jenis Datang Lewat Dan Balik Awal

Orang jenis ini selalu datang kerja lewat tetapi balik awal. Tidak kira siap kerja atau tidak, selalu pulang awal dan adakalanya menyebabkan kerja orang lain tergendala.

10. Jenis Buat Kerja ‘Last Minute’ Dan Mengomel Kerja Banyak

Orang jenis ini suka kerja sambil lewa dan buat kerja pada saat-saat akhir. Dia juga yang banyak mengomel mengenai kerja yang banyak serta mengkritik orang atasan dan mengenai tangga gajinya yang tidak setimpal dengan usaha. Kalau dah buat kerja pada saat akhir, sudah tentulah adakalanya kualiti kerja tidak bagus.

kerja

11. Jenis Suka Berlagak Dan ‘Bragging’ 

Walaupun pekerjaannya tidak seberapa, tetapi orang jenis ini suka berlagak dan ‘bragging’ mengenai pekerjaannya sehingga menyebabkan rakan pejabat lain menyampah. Dia juga suka mengkritik orang lain dan memuji diri sendiri. Apabila diminta mengajar orang lain, dia tidak tahu bahkan berkata di pejabat, harus berdikari sendiri dan tidak perlu minta bantuan orang lain.

12. Jenis Suka Hantar Emel Dan Telefon Berkali-kali ( panjang pula tu! ) 

Ya, mungkin dia terlalu pentingkan pekerjaan sehingga menyebabkan orang lain menjadi tertekan. Ada yang jenis suka menghantar emel setiap beberapa jam untuk ‘update’ kerja dan menelefon anda sehari sampai berkali-kali. Kalau dah kerja membalas emel dan menjawap panggilan saja, bila kerja nak siap? Ada juga orang yang suka bergayut di telefon dan berbual sehingga lalai dalam pekerjaan. Amboi, senangnya kerja anda.

13. Jenis Yang Pentingkan Waktu Makan Dari Waktu Bekerja

Setiap kali waktu makan, dia orang paling menepati masa. Beberapa jam sebelum makan atau sebelum waktu kerja, dia orang pertama yang bertanya soalan mengenai lokasi makan tengah hari.

14. Jenis Wartawan Hiburan

Jenis wartawan tidak berbayar selalunya ada di setiap pejabat. Dia mengetahui segala kisah lampau dan terkini di pejabat dan mengenai hal peribadi rakan pejabat anda. Jaga-jaga, dia mungkin sedang bercakap dengan seseorang yang anda kini sedang melayari portal Wanista.com!

15. Jenis Bercakap Kuat Atau Dipanggil ‘Loudspeaker’

Mungkin jika dia mempunyai pendengaran yang kurang jelas, boleh dimaafkan. Tetapi orang yang jenis bercakap kuat sehingga menyebabkan kerja orang lain terganggu seharusnya diselotep mulutnya. Bukan sahaja mengganggu orang lain, bahkan perkara yang tidak patut orang lain tahu pun, orang akan dapat tahu gara-gara suaranya yang kuat apabila bercakap.

16. Jenis Tukang Bodek Bos

Setiap hari dia masuk bilik pejabat bos untuk memuji bos dan juga memberikan kuih,hadiah dan pelbagai lagi. Apabila bos minta tolong, dia orang pertama yang menjadi sukarelawan dan orang seperti ini juga bahaya kerana dia boleh buat apa saja untuk menjatuhkan orang lain.

17. Jenis Kawan Ikut Geng 

Di pejabat,terdapat geng makan, geng borak,geng lepak , geng ikut negeri asal, dan pelbagai geng lagi. Ada yang jenis berkawan tidak ikut geng juga. Tetapi ada geng yang tidak mahu berkawan dengan orang lain melainkan geng dia sahaja. Tetapi apabila di dalam kesusahan, tahu pula minta tolong orang lain yang bukan dari geng dia.

18. Jenis Terlalu Prihatin

Ada rakan pejabat yang terlalu prihatin mengenai orang lain. Apabila rakan ditimpa masalah, dia orang pertama yang akan bertanya dan cuba membantu. Dia juga boleh diharap dan tidak meminta sebarang balasan.

19. Jenis Mengekor

Ada orang yang jenis tidak boleh duduk seorang diri. Sentiasa mengekori rakan pejabat yang lain kemana sahaja menyebabkan orang lain rasa tidak selesa. Apabila berada di pejabat, dia ingin duduk dekat dengan orang lain.

20. Jenis Menggelabah Tak Tentu Pasal

Pantang sahaja ada perkara baru atau tidak kena di pejabat, dia akan panik dan menggelabah. Dia akan bertanya pada rakan pejabat apa yang terjadi dan berfikir mengenai benda yang bukan-bukan. Dia juga mudah rasa sedih dan kecewa serta mula menyalahkan diri sendiri jika bos menegur mengenai kualiti kerjanya.