Kita sentiasa mahukan yang terbaik dalam perhubungan tetapi kita juga tak boleh kawal sejauh mana keikhlasan pasangan kita dalam satu hubungan. Kadang-kadang depan kita pijak semut pun mati tapi belakang kita macam-macam yang terjadi. Tapi macam mana nak kesan jika si dia rupanya tak jujur dalam perhubungan? Manusia ni ada macam-macam perangai. Ada yang nampak macam penipu walhal dia sangat cintakan kita. Ada juga yang nampak benar-benar menyayangi kamu tetapi rupanya palsu semata.
Tapi pada siapa kita nak pastikan yang si dia ni jujur ke tak? Takkan nak tanya mak dia? Adik dia? Kawan-kawan dia? Untung kalau dapat kawan-kawan yang baik, bolehlah beritahu serba sedikit tentang si dia.
Di sini Wanista kongsikan tips bagaimana mahu mengesan si dia yang tidak jujur dalam perhubungan.
Bagaimana untuk mengesan tindak tanduk pasangan anda jika dia tidak jujur?
Sila perhatikan tindak tanduk si dia. Maksudnya di sini jika anda sudah biasa dengan pasangan anda, pasti anda akan dapat mengesan jika ada tindak-tanduk si dia yang berbeza. Adakah dia selalu bersama dengan gajetnya atau tidak membenarkan anda mengusik barang peribadi dia? Atau perhatikan jika ada tabiat yang berbeza seperti menggigit kuku, atau sentiasa melihat jam atau gerak geri yang mencurigakan apabila melayari Internet atau telefon.
Tanya soalan yang betul. Jika pasangan anda memberi 1001 satu alasan atau bersikap defensif mungkin ada yang tidak kena. Gunakan soalan mengumpan untuk mengetahui jawapan si dia. Tapi ingat jangan tanya soalan dalam keadaan marah kerana takut ia akan menimbulkan ketegangan antara anda dan dia.
Kerap menolak pelawaan anda untuk keluar dan kerap meluangkan masa bersama telefon dan internet. Kalau dulu dia yang paling gembira kalau diajak ‘dating’ atau keluar bersiar-siar tetapi kini dia selalu memberikan alasan untuk tidak meluangkan masa bersama anda. Mungkin dia sudah bosan atau sibuk? Pastikan anda selidik kedudukan sebenar si dia!
Perubahan sikap yang ketara terutamanya menjadi panas baran atau pendiam secara tiba-tiba. Kadang-kadang kesilapan anda yang paling kecil pun seolah-olah besar baginya dan dia sering memarahi dan memalukan anda di khalayak ramai. Mungkin dia sudah jelek dengan anda dan mahu menimbul kebencian anda terhadap si dia dan berharap anda meninggalkan si dia. Ada juga pasangan sebegini, jadi hati-hati ya.
Menggunakan telefon secara sorok-sorok. Tabiat seperti ini sering kita lihat di dalam drama di kaca TV tapi tahukah anda kebanyakkan drama di televisyen pun terjadi di dunia sebenar? Jika sebelum ini dia tidak kisah anda membaca SMS atau mengangkat panggilan telefon, tetapi dia marah jika anda sentuh telefon dia dan tiba-tiba tabiatnya berubah dengan menjawab panggilan di tempat yang jauh dari kamu, hati-hatilah. Bunyi telefon pun boleh membuatnya gelisah ketika bersama anda tau.
Tiba-tiba marah jika anda bertanyakan mengenai aktiviti si dia. Ayat seperti “Jangan menyibuk” menjadi permainan bibir si dia. Mungkin kamu ingin mengambil berat kerana kamu sayangkan si dia tetapi dia mudah menyalah anggap kamu ingin mencurigai si dia.
Contoh ayat yang sering si dia gunakan
Mengelak : Selalunya si dia akan cuba untuk mengelak menjawab pertanyaan atau percakapan. “Boleh tak kita bincang perkara ini lain kali?”
Defensif : Selalunya dia akan bertindak defensif contohnya dengan ayat seperti ini “Saya rasa saya tak perlu jawab soalan tu.” “Tak penting saya nak beritahu awak.”
Alasan : Mencari alasan untuk tutup penipuan “Mengarutlah awak ni. Takkan lah saya nak buat benda macam tu!” “Saya takkan sia-siakan perhubungan kita dengan benda macam tu lah.”
Mencari sesuatu yang spesifik : “Awak nak tahu apa sebenarnya?” “Jadi apa yang awak nak buktikan? Nak cari kesalahan saya lagi ke?”
Buat-buat lupa : “Eh, tak pernah pun saya buat benda tu.” “Sepanjang saya dengan awak ni, tak pernah lah saya buat macam tu.”
Putar belit untuk menutup kesalahan : “Awak rasa saya sanggup ke buat macam tu?” “Saya ingatkan saya kenal awak. Saya ingatkan awak faham saya. Rupanya tak.”
Pergerakan badan si dia yang berbeza dari kebiasaan contohnya:
- Mengesat peluh
- Gigit kuku
- Mata tidak memandang tepat ke mata kamu
Mungkin anda ada tips yang lebih berkesan daripada ini seperti mengupah pengintip professional. Hahaha.. Tetapi jika ada tips yang lain, jangan malu untuk berkongsi dengan kami ya?