Sejak kebelakangan ini, banyak tersebar khabar angin mengatakan bahawa rumah tangga Adi Putra bersama isteri keduanya, Norshahida Zolkifly, 32, sedang goyah.
Namun sebaliknya, wanita itu telah menafikan sama sekali tentang semua kekeliruan yang berlaku dan mendakwa mereka masih bahagia bersama sejak bernikah 6 bulan lalu.
Norshahida juga menyatakan bahawa Adi adalah suami yang bertanggungjawab dan tahu berlaku adil menjaga hati kedua-kedua isterinya. Bahkan, hubungan dia bersama madunya juga baik-baik sahaja.
“Kerap juga kami bertemu dan selalu berhubung untuk bertanya khabar. Saya menepis tanggapan sesetengah pihak hubungan kami keruh,” katanya.
“Saya tidak pernah membuka mulut berhubung perkahwinan kami selepas berkahwin. Saya faham sangat, suami tidak selesa berkongsi kisah peribadi untuk tatapan umum.
“Bagaimanapun, lebih lama kami mendiamkan diri, terlalu banyak spekulasi yang timbul sejak kami berkahwin.
“Mungkin langkah ini agak berat tetapi apabila terserempak dengan wartawan hari ini, saya tidak boleh melarikan diri. Saya harus mempertahankan rumah tangga saya yang diperkatakan ramai,” tambahnya.
Baru-baru ni, terdapat orang luar yang sengaja mahu mewujudkan ketegangan dengan memberikan komen negatif berbaur hinaan pada Instagram Adi Putra berkenaan keguguran yang dialami Norshahida beberapa minggu lalu.
“Saya tidak tahu saya hamil. Saya seorang yang aktif berbasikal dan bersenam. Saya hanya sedar diri hamil apabila mula mabuk menaiki kenderaan. Namun, keadaan itu tidak lama apabila saya keguguran,” katanya.