Dilaporkan, nama yang menjadi pilihan pasangan pelakon popular Bollywood, Saif Ali Khan dan Kareena Kapoor, untuk diberikan kepada bayi mereka menjadi perbahasan hangat di media sosial.
Saif dan Kareena menamakan bayi lelaki yang dilahirkan awal Selasa itu sebagai Taimur Ali Khan Pataudi, sempena pemimpin empayar Moghul, Timur the Lame yang dipercayai bertanggungjawab membunuh ratusan ribu penduduk berketurunan India pada tahun 1339 selepas masihi.
Baca: TAHNIAH! KAREENA KAPOOR SELAMAT LAHIRKAN ANAK SULUNG SEMALAM
Sebaik nama itu diumumkan, media sosial dihujani tweet dan status mempersoalkan nama bayi berkenaan. Bagaimanapun, bapa saudara Kareena, pelakon Rishi Kapoor mempertahankan nama berkenaan dan mengucapkan tahniah kepada pasangan berkenaan.
“Tahniah kepada Kareena dan Saif! Terima kasih kepada semua ucapan, akan menyampaikannya,” kata aktor veteran itu dalam Twitter.
Anggota keluarga pasangan suami isteri itu termasuk Karisma Kapoor, Soha Ali Khan dan Kunal Kemmu, turut mengucapkan tahniah di atas kelahiran anggota baru itu.
“Keluarga kami amat gembira. Taimur Ali Khan Pataudi cukup comel dan kedua-dua ibu dan anak sihat!” menurut tweet adik Saif, Soha.
Bekas Ketua Menteri Jammu Kashmir, Omar Abdullah, turut mengkritik mereka yang mempersendakan pemilihan nama itu. Abdullah berkata, sebagai ibu bapa, Saif dan Kareena berhak memutuskan nama anak mereka.
Dalam akaun Twitter, beliau menulis: “Orang yang berhak memutuskan nama bayi ialah ibu bapanya. Mengapa orang lain hendak masuk campur? “Tahniah kepada Saif dan Kareena. Semoga Taimur Ali Khan menikmati kehidupan yang gembira dan sihat.”
Taimur ialah anak pertama Kareena manakala Saif mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertamanya dengan pelakon Amrita Singh, Sara dan Ibrahim.