Gadis berusia 24 tahun, Estephania Correa yang memiliki berat badan 120 kilogram, mencipta sejarah menjuarai satu pertandingan ratu cantik di Argentina.
Beliau turut disifatkan sebagai ‘ratu antidiskriminai’ selepas dimahkotakan ‘Ratu Vendimia’ berikutan ucapan kemenangan yang memberi ilham kepada ramai wanita lain.
Pertandingan ratu cantik yang dimenangi Correa adalah sebahagian festival menghasilkan wain yang diadakan di wilayah Mendoza.
Correa berkata, beliau mengambil bahagian dalam pertandingan itu kerana percaya pertandingan itu bukan cuma mengenai bentuk badan dan wajah yang jelita.
Beliau mengambil masa setahun bersiap sedia sebelum mengambil bahagian dan memasuki agensi model.
Correa juga mengesahkan tidak pernah berasa didiskriminasi sepanjang pertandingan dan tidak berhadapan kritikan.
“Saya mahu memecahkan diskriminasi, bahawa Vendimia bukan sekadar pertandingan ratu cantik, ia lebih daripada itu, bahawa saya adalah wanita yang akan mewakili semua penduduk Mendoza dalam sektor pembuatan wain.
“Saya berasa kuat dan yakin dengan keluarga dan rakan-rakan bersama-sama saya. Kita perlu mencintai diri sendiri.
Saya gembira menjadi pemenang, semua yang saya peroleh selepas ini menjadi hadiah bagi kehidupan saya,” katanya selepas memenangi pertandingan itu.
Dengan berat 120 kilogram dan ketinggian cuma 160 sentimeter, tiada yang dapat menghalang Correa daripada menurut impiannya menjadi ratu cantik.
Correa berkata, diskriminasi dan buli yang dihadapi menjadikan beliau lebih kuat. “Saya akan menjadi ratu untuk mengatasi stereotype kecantikan,” katanya. – Agensi