Seorang remaja menggemparkan industri kecantikan apabila menjadi peserta berhijab pertama menyertai pertandingan ratu cantik Miss Minnesota Amerika Syarikat (AS).
Halima Aden, 19, turut mengenakan pakaian mandi Muslimah, burkini, ketika pusingan pakaian mandi dalam pertandingan itu.
Halima yang sampai ke peringkat separuh akhir pertandingan itu berkata, dia mahu menggunakan peraduan berkenaan sebagai peluang untuk mencabar kesilapan persepsi terhadap Islam.
Remaja dari St Cloud itu memberitahu rangkaian televisyen WCCO-TV: “Sebelum ini saya menganggap ia sesuatu yang negatif untuk berbeza daripada orang lain.
“Tetapi semakin saya dewasa, saya menyedari kita semua ada keunikan tersendiri yang membuatkan kita menyerlah.
“Tidak sesiapapun sepatutnya tenggelam. Bayangkan betapa membosankan dunia ini jika semua orang sama?”
Keluarganya ialah pelarian Somalia yang tiba di AS ketika Halima berusia tujuh tahun.
Ibunya Rukia Aden memberitahu akhbar Minneapolis Star Tribune, dia amat bangga dan menyokong pendirian anaknya itu.
“Ini memang sesuatu yang baru bagi saya. Saya amat gembira kami hidup di AS dengan rakyatnya bebas dan boleh memakai apa saja dikehendaki mereka,” katanya.
Pertandingan itu dimenangai Meridith Gould dari Minneapolis yang bakal bertanding dalam Miss USA, tahun depan. – Agensi