Akur dengan tuntutan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), francais makanan segera dari Amerika Syarikat menukar nama “pretzel dog” kepada “pretzel sausage”.
Pegawai eksekutif Auntie Anne’s Malaysia ketika mengesahkan perkara itu berkata ia demi mendapatkan status halal.
“Kami sudah menukar kepada ‘pretzel sausage’ seperti yang dikehendaki dalam perakuan sijil halal,” kata Farhatul Kamilah Mohamed Sazali ketika dihubungi Malay Mail Online.
Sebelum ini timbul kontroversi apabila agensi kerajaan itu dilapor mengarahkan agar nama menu “pretzel dog” ditukar, bimbang pengguna Islam terkeliru.
Pada 31 Oktober lepas, syarikat pengeluar dan rangkaian jenama pretzel tersebut telah memuat naik satu kenyataan dalam laman Facebook bahawa mereka akan berusaha untuk mendapatkan sijil halal dalam negara.
Jakim sebelum ini pernah menyangkal yang mereka pernah menerima permohonan sijil halal dari Auntie Anne berikutan isu perkataan “dog” yang diguna pakai untuk salah satu nama hidangan yang ditawarkan.
Pengarah jabatan halal, Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, mereka telah gagal mendapatkan status halal kerana beberapa alasan kertas kerja yang tidak lengkap.
Auntie Anne's franchise in #Malaysia has officially changed its Pretzel Dog to Pretzel Sausage. #halal #nodogs pic.twitter.com/7QEup2dXeF
— Chrisanne Chin (@ChrisanneChin) November 28, 2016
Setelah kontroversi Auntie Annes, timbul pula berita tentang burger berinti daging khinzir jenama Ninja Joe yang bermain dengan isu mengelirukan umat Islam kerana menamakan salah satu menu burger mereka dengan nama P. Ramly.